Ramkarpal enggan layan cabaran debat isu pengampunan Najib
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh enggan melayan cabaran debat terbuka yang dibuat pengendali akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain menyifatkan hantaran itu sekadar meraih publisiti murahan.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menegaskan, sebarang perdebatan tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitannya kekal.
"Jelas sekali Najib mahu menggunakan saya untuk kekal relevan dengan mencabar untuk berdebat. Saya tidak akan membiarkan diri saya dipergunakan bagi sebarang publisiti murahan.
"Kasihan melihat Najib dalam keadaan terdesak, mungkin lebih baik untuk dia manfaatkan masa di penjara dengan bermuhasabah diri dan bertaubat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini wakil kepada bekas Presiden UMNO itu menerusi hantaran di laman Facebook mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib untuk berdebat secara terbuka berkaitan kes SRC International.
Dalam pada itu Ramkarpal berkata, sebarang cabaran untuk berdebat secara terbuka perlu dihentikan segera kerana tindakan itu tidak akan mengubah nasib bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.
Menganggap catatan tersebut diarahkan oleh Najib, pemimpin DAP itu bagaimanapun berkata, tiada seorang wakil bekas Menteri Kewangan itu menghubunginya untuk menetapkan tarikh dan masa perbebatan.
“Tidak ada guna berurusan dengan Najib dalam isu ini kerana pertimbangan majoriti permohonan tersebut adalah asas, malah Lembaga Pengampunan mengekalkan sabitannya.
"Oleh itu buang masa sahaja untuk sahut cabaran tidak masuk akal," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!