Jangan ada yang kutip bayaran saman tepi jalan - KPD Pasir Puteh


Majlis Panggil Nama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh yang diadakan di IPD daerah itu pada Selasa.
Majlis Panggil Nama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh yang diadakan di IPD daerah itu pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - “Jangan ada yang kutip bayaran saman tepi jalan.”

Itu amaran Ketua Polis Daerah Pasir Puteh kepada 274 anggota dan 24 pegawai kanan yang berada di bawah seliaan beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.

Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, sepertimana amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, setiap anggota polis perlu menekankan disiplin dan integriti dalam melaksanakan penugasan harian mereka.

Menurut beliau, anggota pasukan tersebut juga perlu sentiasa menjaga imej dan patuh kepada arahan ketua selain menjaga amanah dipertanggungjawabkan terutama melibatkan soal etika.

“Dalam etika membuat kutipan ataupun membayar saman, jangan ada yang dilakukan di tepi jalan.

Zaizul Rizal (dua dari kiri) ketika bertemu dengan anggota BSPT Pasir Puteh.
Zaizul Rizal (dua dari kiri) ketika bertemu dengan anggota BSPT Pasir Puteh.

“(Ia) terutama melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT). Perlu memastikan kes-kes sebelum ini yang berlaku di luar daerah atau negeri ini sebagai pengajaran dan tidak terjadi di Pasir Puteh,” katanya semasa berucap pada Majlis Panggil Nama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di IPD di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana ‘anak buahnya’ yang terbabit dengan gejala rasuah, penyalahgunaan dadah atau jenayah-jenayah lain seperti pemerasan.

Artikel Berkaitan:

Zaizul Rizal turut mendedahkan satu kes melibatkan anggota berpangkat lans koperal berusia 33 tahun ditahan di daerah itu pada bulan lalu kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zaizul Rizal
Zaizul Rizal

“Tahun lepas ada satu kes polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota bermasalah selain penyelia turut akan bertanggungjawab sama jika tidak bertindak membuat teguran kepada mereka,” kata beliau.

Akhbar sebelumnya, melaporkan seorang anggota polis berpangkat sarjan disiasat setelah didapati memiliki wang tunai lebih RM3,000 ketika terlibat dalam sekatan jalan raya (SJR) Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Pemeriksaan dijalankan oleh pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard(JIPS) Bukit Aman di lokasi SJR berkenaan dan kertas siasatan tatatertib dibuka susulan kejadian itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!