Kertas siasatan kes sarjan rogol pelajar lengkap
LUMUT - Kertas siasatan terhadap anggota polis berpangkat sarjan yang disyaki merogol pelajar Tingkatan Empat sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya.
"Kertas siasatan kes ini telah lengkap dan hantar kepada pihak DPP, Rabu lepas dan kita tunggu arahan selanjutnya," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2024 peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir di sini pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang disyaki terlibat dalam kejadian merogol pelajar perempuan Tingkatan Empat, tahun lalu ditahan pada 28 Januari lalu.
Permohonan reman ke atas suspek berusia 42 tahun itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Suspek yang juga timbalan ketua polis balai sekali lagi direman bagi siasatan kes rogol berlainan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.
Mohd Yusri berkata, siasatan kes berkaitan anggota terlibat telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
"Memang kita lihat baru-baru ini berlaku ketidakpatuhan integriti melibatkan warga polis. Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!