'Fasa 1 Gurney Bay tidak libatkan kos RM247 juta seperti didakwa'

Chow Kon Yeow. Fasa 1 Taman Taman Gurney Bay kini dibuka kepada orang ramai sejak Ahad.
Chow Kon Yeow. Fasa 1 Taman Taman Gurney Bay kini dibuka kepada orang ramai sejak Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kos Fasa 1 Taman Gurney Bay yang baru dibuka kepada orang awam pada Ahad.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Fasa 1 Gurney Bay tidak melibatkan kos sebanyak RM247 juta seperti yang didakwa Guan Eng dalam hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, jumlah itu sebenarnya merupakan kos penuh bagi projek Taman Gurney Bay termasuk Fasa 1 dan 2.

"Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook Lim Guan Eng pada hari ini (Isnin), Kerajaan Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa terdapat kesilapan berhubung angka yang dinyatakan.

"Kos RM247 juta adalah untuk dua fasa iaitu fasa 1 dan 2, bukannya untuk satu fasa sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Kon Yeow, sehingga 31 Disember 2023, kerajaan negeri hanya membayar RM58 juta untuk kerja-kerja yang telah disiapkan.

Guan Eng dalam hantaran di Facebooknya mengenai kos Fasa 1 Taman Gurney Bay dan kerosakan di tapak taman tersebut.
Guan Eng dalam hantaran di Facebooknya mengenai kos Fasa 1 Taman Gurney Bay dan kerosakan di tapak taman tersebut.

"RM247 juta hanya akan dibelanjakan apabila kesemua komponen projek siap menjelang 2026," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kerosakan di tapak berkenaan yang turut disuarakan Guan Eng, Kon Yeow berkata, pihak kontraktor bertanggungjawab selama dua tahun atas syarat 'Damage Liability Period'.

Sebelum ini, Guan Eng dalam hantaran Facebooknya mempersoalkan tentang kualiti kerja di tapak Fasa 1 Taman Gurvey Bay, Persiaran Gurney apabila ia dilaporkan rosak setelah sehari dibuka kepada orang awam.

Menurut Guan Eng, bukan sahaja tali pada alat permainan dilaporkan rosak, struktur konkrit juga dilaporkan retak semasa pembukaan fasa 1 taman berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan kos fasa 1 projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM247 juta.

"Fasa 1 Taman Gurvey Bay yang baharu dibuka kepada orang awam. Mujurlah pihak terbabit bertindak selepas aduan disampaikan, namun ia tidak dapat mengelakkan persoalan mengenai kualiti kerja.

"Fasa 1 projek Taman Gurney Bay ini melibatkan kos sebanyak RM 247 juta penuh dengan reka bentuk dinding konkrit menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai perancangan asal, reka bentuk, pemantauan hasil dan juga kualiti kerja.

"Nilai RM247 juta yang dibelanjakan sepatutnya membawa kepada sebuah taman rekrekasi yang bertaraf antarabangsa," kata Guan Eng.