Proton catat jualan memberangsangkan pada Januari 2024
PROTON Holdings Bhd menjual 12,882 unit kereta (domestik dan eksport) pada Januari 2024, yang merupakan permulaan tahun terbaiknya sejak 2013.
Ketua Pegawai Ekskutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, syarikat itu teruja untuk memulakan tahun 2024 dengan prestasi memberangsangkan, disokong oleh penghantaran kukuh bagi model terbaharu, Proton S70.
"Sambutan memberangsangkan itu membuktikan daya tarikan model kami kepada pembeli yang mencari kenderaan inovatif.
"Kami komited sepenuhnya untuk memenuhi peningkatan permintaan daripada pelanggan kami manakala pasukan kami berusaha keras untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya bagi memenuhi harapan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pengeluar kereta nasional itu melaporkan anggaran bahagian pasaran sebanyak 19.5 peratus bagi bulan tersebut, merupakan peningkatan 3.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.
"Penghantaran model terbaharu Proton S70 bermula dengan 1,442 unit dihantar pada Januari.
“Pada masa ini model itu memperoleh lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif yang diterima daripada pelanggan yang berminat,” katanya.
Sementara itu, Proton berkata Proton X50, meneruskan penguasaannya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B paling utama bagi tahun ini dengan 2,002 unit dijual pada Januari.
"Begitu juga Proton Persona yang memulakan tahun dengan prestasi kukuh mendahului jualan bagi sedan segmen B dengan 1,846 unit dijual.
"Proton X90 turut mengekalkan penerajuannya dalam pasaran SUV segmen D, dengan sejumlah 365 unit dijual pada Januari. Ini dipadankan oleh Proton Exora yang walaupun pengeluarannya telah tamat, kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C itu kekal relevan dengan 203 unit dijual," katanya.
Proton melaporkan Proton Saga bermula kukuh pada 2024 dengan 6,129 unit dijual, membuktikan populariti dan kepentingannya dalam portfolio Proton.
"Bagi model Proton lain, jualan untuk Proton Iriz melonjak sebanyak 7 peratus berbanding Disember dengan 523 unit dijual manakala 372 Proton X70 telah dijual bulan lepas," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!