Messi tak main, peminat bola sepak tuntut semula duit tiket
LIONEL Messi diejek selepas kapten skuad bola sepak kebangsaan Argentina itu hanya berada di bangku simpanan ketika aksi persahabatan pramusim Inter Miami di sini pada Ahad.
Selain Messi, nasib sama turut dialami bintang baharu Inter Miami, Luis Suarez dan pemilik kelab itu yang juga legenda Manchester United, David Beckham.
Messi hanya berada di bangku simpanan dalam aksi yang berkesudahan Inter Miami menang 4-1 ke atas pasukan Pilihan Hong Kong itu kerana dikatakan mengalami kecederaan hamstring.
Situasi tersebut mencetuskan kemarahan hampir 40,000 penonton yang membayar AS$125 (RM589.69) semata-mata untuk menyaksikan penampilan Messi di tengah padang.
Malah, ada peminat bola sepak yang meminta dikembalikan semula duit tiket kerana kecewa tidak dapat menyaksikan 'live show' daripada bintang kesayangan mereka itu.
Ketika pertengahan aksi babak kedua berlangsung, sorakan 'kami mahukan Messi' daripada penyokong yang tidak berpuas hati terus bergema di Stadium Hong Kong itu.
Kedengaran ejekan daripada penonton ketika baki 10 minit terakhir perlawanan dan ia semakin jelas apabila mereka mendapati pemenang lapan kali Ballon d'Or itu tidak akan turun beraksi.
Malah, ejekan dan cemuhan terus bergema di stadium apabila Suarez yang juga bekas penyerang Liverpool dan Barcelona diturunkan kerana mengalami kecederaan lutut.
Beckham turut terpalit dengan insiden ejekan penyokong ketika dia cuba berterima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan luar biasa kepada kelab miliknya itu.
"Kami memahami kekecewaan penyokong kerana ketiadaan Leo (Messi) dan Luis Suarez," kata pengendali Inter Miami, Gerardo Martino yang menjelaskan pasukan perubatan kelab memutuskan keputusan berkenaan selepas melakukan penilaian. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!