Pilpres 2024: Calon presiden bahas isu penting di debat terakhir

Tiga calon presiden Indonesia iaitu Anies Baswedan, Prabowo Subuanto dan Ganjar Pranowo ketika berbahas pada program debat siri terakhir anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) di Pusat Konsvensyen Jakarta pada Ahad. Foto Bernama
Tiga calon presiden Indonesia iaitu Anies Baswedan, Prabowo Subuanto dan Ganjar Pranowo ketika berbahas pada program debat siri terakhir anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) di Pusat Konsvensyen Jakarta pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Dalam sesi debat terakhir anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) pada Ahad, tiga pesaing untuk pilihan raya presiden Indonesia walaupun berbahas dalam nada serius, mereka berjaya mengelakkan serangan peribadi atau sindiran.

Ini satu senario berbeza berbanding sebelum ini, dengan Prabowo Subianto, Ganjar Pranowo dan Anies Baswedan menjelaskan visi dan menjawab pertanyaan dengan fasih serta menguasai isu.

Mereka melayari topik penting merangkumi sosial, budaya, pendidikan, teknologi maklumat, kesihatan, pekerjaan, sumber manusia dan keterangkuman.

Menteri Pertahanan Prabowo menekankan komitmennya terhadap program pembangunan sedia ada yang berterusan serta menekankan beberapa langkah seperti program makan tengah hari dan susu percuma di sekolah.

Strategi transformasi yang dinyatakan merangkumi pelbagai aspek, daripada meningkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan sains teknologi, pertumbuhan ekonomi dan menangani kemiskinan serta rasuah.

"Pelan itu merupakan usaha menyeluruh demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membina kemajuan ekonomi yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu untuk merubah Indonesia menjelang tahun 2045," kata Prabowo.

Ganjar, bekas Gabenor Jawa Tengah, pula bertekad melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada melalui program tambahan yang selaras dengan visi dan misi beliau seperti merancakkan digitalisasi dan memperhalusi undang-undang mewujudkan pekerjaan.

Antara agenda yang ditekankan termasuk mengutamakan kesihatan dan aspek pencegahan, pendidikan inklusif, serta memperjuangkan demokrasi yang baik dan kepimpinan yang boleh dipercayai.

Artikel Berkaitan:

"Kesihatan menjadi hal paling utama. Akses kemudahan kesihatan perlu diwujudkan di setiap desa," kata Ganjar, yang merupakan calon daripada parti pemerintah.

Calon ketiga bekas Gabenor Jakarta, Anies, pula secara konsisten menekankan pentingnya perubahan dalam program dan dasar sedia ada, berbeza dengan pendirian dua calon sebelumnya.

Anies berazam meremajakan prinsip asas dan membentuk semula negaranya, dengan menyelesaikan isu pengangguran, keselamatan sosial, pendidikan di kawasan terpencil, kesihatan, ketidaksamaan yang meluas dan ketidakadilan.

"Kami ingin pastikan kehidupan yang sihat, pertumbuhan yang berpatutan, keluarga makmur dengan gaji yang adil, bangga dengan kebudayaan dan membangunkan sumber manusia," katanya.

Mengenai pekerja migran Indonesia di luar negara, Prabowo dan Ganjar menyokong idea Anies untuk melibatkan aktivis yang lebih memahami isu itu.

Ganjar menambah peranan kementerian dan agensi berkaitan perlu ditingkatkan bagi memudahkan pelaporan, semakan dan memudahkan penyelesaian masalah pekerja migran dengan segera.

Prabowo pula berkongsi pengalaman bagaimana beliau membantu pekerja wanita Indonesia di Malaysia terlepas hukuman mati hasil maklumat daripada aktivis pekerja migran.

Sejumlah 240 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab dalam menentukan kepimpinan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu pada 14 Februari.

Selain memilih presiden dan naib presiden, mereka akan mengundi untuk ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat, dan wakil untuk badan perundangan tempatan. - Bernama

TAGS: pilihan raya, presiden, debat, Prabowo, Ganjar, Anies

MI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!