DAP digesa ambil tindakan tegas terhadap Tony Pua - MCA

Choo Seong, Tony Pua
Choo Seong, Tony Pua
A
A
A

SHAH ALAM - MCA mendakwa bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua seolah-olah memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya susulan pengampunan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menggesa kepimpinan tertinggi DAP mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara itu.

“Sekiranya kepimpinan DAP masih membisu berhubung perkara ini, ia seolah-olah menunjukkan DAP merestui tindakan Tony Pua sekali gus dilihat cuba mensabotaj dan menghakis semangat perpaduan dalam kerajaan hari ini.

“Kita seharusnya perlu berlapang dada menerimanya, bukan menyindir dan memperlekehkan keputusan itu seperti yang dilakukan oleh Tony Pua,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Dalam pada itu, Choo Seong turut mendakwa ahli DAP seperti Tony Puas masih hidup dengan ‘perangai’ lama mereka.

Artikel Berkaitan:

“Tony Pua kini dilihat mahu menggantikan 'Superman Hew' yang penuh kontroversi.

“Jadi, apakah pendirian kepimpinan DAP? Adakah tindakan Tony Pua ini akan dipandang sepi oleh DAP dengan alasan itu pandangan peribadi beliau dan tiada kaitan dengan parti?” soalnya.

Mengulas mengenai tindakan Tony Pua menyindir Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, Choo Seong berkata, sudah menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak pantas terhadap laporan yang diterima.

“Cuba 'kena batang hidung sendiri', anda ditimpa musibah dan PDRM berlengah-lengah mengambil tindakan, pasti PDRM akan dihentam teruk, dituduh 'makan gaji buta' serta sebagainya,” ujarnya.