Gabungan suara Hattan, M Nasir 'gegar' Kota Kinabalu

Hattan (kiri) dan M Nasir berkongsi pentas merealisasikan konsert pertama mereka di Kota Kinabalu.
Hattan (kiri) dan M Nasir berkongsi pentas merealisasikan konsert pertama mereka di Kota Kinabalu.
A
A
A

GABUNGAN dua suara menerusi lagu Mentera Semerah Padi merealisasikan impian dua sosok penghibur tersohor negara, Datuk M Nasir dan Datuk Hattan berkongsi pentas menerusi Konsert Aku dan Sifu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam Sabtu lalu.

Malah kedua-dua penyanyi ini turut menggegarkan ruangan SICC yang dihadiri kira-kira 2,000 penonton menerusi tiga buah lagu secara berduet iaitu Falsafah Cinta, Kepadamu Kekasih dan Gerhana.

Pembukaan tirai konsert bermula tepat 8.45 malam menampilkan Hattan dengan lagunya yang diterbitkan sekitar 90-an iaitu Biso Bonar, Duit, Meniti Perjalanan dan Sekuntum Mawar Merah.

Sebelum meneruskan persembahan, Hattan sempat mengimbas semula detik awal perkenalan dengan M Nasir sebelum bergelar penyanyi 39 tahun lalu.

"Perkara pertama yang menjadi penyebab konsert ini bertajuk sebegini rupa adalah kerana kekaguman saya kepada seorang seniman ini, beliaulah yang menjadi idola, guru, abang dan penerbit album saya yang pertama iaitu Datuk M Nasir.

"Saya pertama kali berjumpa M Nasir di Bangsar dan saya secara tiba-tiba nak sangat jadi penyanyi. Sejak itu saya berguru dengan beliau sehingga saya berdiri sebagaimana ada di sini hari ini," katanya.

Beliau dalam pada itu menyifatkan kehadiran penonton bukan saja dari Sabah malah Sarawak, Semenanjung dan Brunei Darussalam sebagai satu penghargaan kepada mereka sebagai penghibur tanah air.

Sebagai penutup persembahan solonya, Hattan mempersembahkan tiga lagu terakhirnya yang hit iaitu Mahligai Syahdu, Memburu Rindu dan Rendang Tak Berbuah yang sekali gus mendapat sambutan hangat daripada penonton yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Menutup tirai konsert, M Nasir turut tampil dengan lagu-lagu popularnya termasuk Hati Emas, Apokalips, Raikan Cinta dan Juwita.

Konsert berlangsung selama tiga jam dengan lebih 20 lagu itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin dengan diiringi Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) Datuk Seri Hazani Ghazali serta Pengerusi Bahagian Pelaburan Kerajaan Negeri, Qhazanah Sabah Bhd Datuk Dr Yusof Yacob.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!