Miliki wang tunai lebih RM3,000 ketika SJR: 10 polis trafik ditukar ke pentadbiran
PUCHONG - Seramai 10 anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang disiasat berhubung penemuan wang tunai lebih RM3,000 semasa melaksanakan operasi telah ditukar penugasan ke bahagian pentadbiran.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua mereka akan melakukan tugasan pentadbiran sehingga siasatan selesai.
"Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kita menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan anggota yang terbabit dengan penguatkuasaan ini mengikut SOP.
"Berhubung penemuan semalam, kes ini masih dalam siasatan, kita perlu siasat sama ada wang yang ditemui adalah wang milik sendiri atau ada elemen-elemen lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), Sazally Saidi.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan 10 anggota polis trafik termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor disiasat berhubung penemuan wang berkenaan di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan Op Alkohol.
Mengulas lanjut, dalam perkembangan lain, kata Hussein, berkuat kuasa pada Isnin, Polis Selangor telah mengeluarkan mobiliti 575 anggota sarjan ke bawah yang terlibat dalam penugasan barisan hadapan.
"Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang telah bertugas lebih enam tahun akan ditukarkan ke unit lain.
"Ini satu usaha untuk cegah sebarang elemen negatif dan kita tidak mahu anggota yang terlalu lama ini terlalu selesa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!