AS palu gendang perang
WASHINGTON - "Amerika Syarikat (AS) merancang untuk melancarkan serangan lanjut ke atas kumpulan pejuang disokong Iran di Asia Barat.”
Paluan gendang perang itu diumumkan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan pada Ahad setelah Washington memperhebatkan serangan balas ke atas sasaran musuh mereka di Iraq, Syria dan Yemen pada minggu lalu ketika kempen pengeboman ganas di Gaza memasuki bulan kelima.
“Kempen ketenteraan sejak minggu lalu bukan penamat. Serangan tambahan akan menyusul untuk menghantar mesej jelas kepada kumpulan berkenaan bahawa AS akan bertindak balas jika pasukan tentera kami diserang,” katanya dengan angkuh ketika wawancara bersama NBC.
Sullivan juga dengan lantang menyatakan serangan itu kononnya mempunyai impak yang baik untuk menggugat keupayaan anggota pejuang berkenaan bagi melancarkan serangan pada masa akan datang.
Menurut Pentagon, sebanyak 85 serangan telah dilancarkan ke atas tujuh lokasi berasingan termasuk pusat perintah dan kemudahan latihan kumpulan berkenaan di Baghdad dan Damsyik.
“Saya tidak dapat mengesahkan jika operasi itu turut menyebabkan kematian orang awam. Tetapi, ia berjaya membedil sasaran yang sah,” ujarnya.
Ketika disoal tentang kemungkinan Washington akan menyerang Teheran secara langsung, Sullivan bagaimanapun enggan mengulas dengan lebih lanjut.
“Ia adalah satu tindakan yang kurang bijak jika bercakap tentang hal itu di stesen TV. Kami akan bertindak balas dengan tegas dan pantas jika Iran melancarkan serangan secara terus,” jelasnya.
Sehingga kini, Teheran yang sedang memperkukuhkan sistem nuklear mereka mengelakkan diri untuk terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.
Pentagon juga cuba mengambil pendekatan secara berhati-hati dengan menghindarkan sebarang bentuk provokasi apabila ia menyatakan enggan berperang dengan Iran. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!