Persaingan AS-China, Malaysia dapat manfaat
MALAYSIA, yang diberi penarafan A3 Stabil akan mendapat manfaat daripada persaingan perdagangan serta teknologi antara China dan Amerika Syarikat (AS) berikutan perang perdagangan antara kedua-dua negara yang akan terus mengganggu rantaian bekalan.
Moody's Investor Services berkata, persaingan antara AS dan China menguntungkan ekonomi yang mempunyai asas pembuatan serta infrastruktur yang mantap seperti Malaysia, Vietnam (Ba2 Stabil) dan Thailand (Baa1 Stabil).
"Bagaimanapun peningkatan konflik ketenteraan di Timur Tengah turut menimbulkan risiko rantaian bekalan manakala geopolitik akan kekal menjadi penentu," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Isnin.
Katanya, anjakan menurun dalam kadar pertumbuhan ekonomi China (A1 Negatif) termasuk kelembapan kitaran di AS (Aaa Negatif) akan membebankan situasi kredit Asia Pasifik (APAC) pada 2024.
"Inflasi yang memuncak di peringkat global akan memberi ruang kepada kitaran pengetatan monetari untuk perlahan tetapi keadaan kewangan akan kekal sukar bagi penerbit yang dinilai paling lemah. Sementara itu, risiko geopolitik akan terus membentuk keputusan perniagaan," tambahnya.
Moody's juga meramalkan perubahan struktur dalam trajektori pertumbuhan APAC sebagai purata wajaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebenar merangkumi 25 kerajaan di APAC yang mana jangkaan penilaian firma itu untuk menurun kepada 3.6 peratus pada 2024 berbanding 4.4 peratus pada 2023, mencerminkan kegawatan di China dan keadaan ekonomi global yang kurang memberangsangkan, termasuk kelembapan kitaran di AS.
Peranjakan menurun dalam trajektori pertumbuhan China telah mencerminkan penekanan berterusan ke atas pengimbangan semula domestik selain kelembapan yang dicatatkan dalam sektor hartanah, akan merebak di rantau ini melalui beberapa saluran penghantaran seperti perdagangan barangan serta perkhidmatan, harga komoditi dan pelaburan.
"Kadar pertumbuhan di APAC dan APAC ex-China kini berkemungkinan akan bertumpu, mencerminkan dorongan pertumbuhan yang lebih rendah dari China. Bagaimanapun, rantau ini akan terus berkembang lebih pantas berbanding kebanyakan wilayah lain walaupun pertumbuhan berkurangan pada 2024," katanya lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!