Kolej Thailand wujudkan Kursi Pengajian Bahasa Melayu dan Ketamadunan
SAMUT PRAKAN (Thailand) - Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) pada Isnin melancarkan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Pengajian Melayu dan Ketamadunan.
Berucap pada majlis pelancaran itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursi itu merupakan permulaan bagi memperkenal pengajian Bahasa Melayu dan Ketamadunan Melayu di kolej dan universiti lain di Thailand.
"TGBC juga perlu diberi pujian kerana menjadi institut pengajian tinggi pertama di Thailand yang mewujudkan Kursi Pengajian Bahasa Melayu dan Ketamadunan," katanya pada majlis perasmian Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di sini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada TGBC kerana menyumbang dalam usaha mengembangkan bahasa serta peradaban Melayu, khususnya kepada generasi muda.
Ismail Sabri berkata, Bahasa Melayu menjadi tonggak dalam mencapai agenda pembinaan negara bangsa seperti mana yang telah digerakkan di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, mempelajari dan mengkaji peradaban Melayu dengan mendalam adalah penting khususnya dalam kalangan generasi muda untuk meningkatkan pemahaman bagi menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam rantau ini.
“Dalam konteks ASEAN, peradaban Melayu amat penting untuk memacu rantau Asia Tenggara bersaing di pentas dunia. Kita tidak kuat sekiranya bersendirian.
“Asia Tenggara merupakan populasi ketiga sub-region yang terbesar di Asia selepas India dan China. Kekuatan ini harus digunakan tetapi kita perlu saling mengenali dan memahami budaya sendiri bagi mencari titik persamaan,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran ialah Pengarah TGBC, Dr Prattana Srisuk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!