Jordan sedia diheret ke masa tambahan, penalti

Ammouta. Foto Bernama
Ammouta. Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Jordan, Hussein Ammouta berkata, 'The Chivalrous' telah bersedia sepenuhnya untuk mengatasi juara dua kali Korea Selatan, walaupun perlawanan diheret ke masa tambahan dan penentuan penalti dalam saingan separuh akhir Piala Asia 2023 pada Selasa.

Aksi tersebut di Stadium Ahmad Ali di Al Rayyan adalah perlawanan ulangan Kumpulan E dengan Korea Selatan bangkit dengan jaringan lewat untuk menyamakan kedudukan dan menafikan pendahuluan 2-1 memihak Jordan.

Skuad Taegeuk Warriors, bimbingan Jurgen Klismann kemudian memastikan kemenangan dalam dua perlawanan pusingan kalah mati dengan bertarung 120 minit permainan dalam setiap satu dengan salah satu perlawanan diputuskan menerusi penentuan penalti.

Ammouta mengakui kemahiran Korea Selatan dalam permainan berpanjangan dan penalti dan berkata barisan kejurulatihannya telah mengkaji secara menyeluruh pihak lawan, bertujuan untuk menjadi lebih teratur dalam pendekatan mereka.

"Setiap orang dalam pertandingan ini sudah bersedia secara mental dan itulah sebabnya kita perlu memberi tumpuan kepada peningkatan aspek taktikal permainan kita. Kita perlu membuat penambahbaikan ketika bermain pada peringkat ini dan aspek taktikal haruslah teratur dengan baik.

"Membuat keputusan taktikal melibatkan mengelak atau menekan pasukan yang kuat dan memastikan setiap pemain mendapat apa yang sepatutnya. Setiap pasukan memerlukan persiapan rapi, dari segi mental dan fizikal, untuk bertahan bermain selama 120 minit,” kata jurulatih warga Maghribi berusia 54 tahun itu pada sidang media praperlawanan di sini, pada Isnin.

Jordan yang akan membuat penampilan pertama mereka di separuh akhir Piala Asia kehilangan khidmat Ali Olwan dan Salem Al Ajalin dengan kedua-duanya akan menjalani penggantungan satu perlawanan tetapi Ammouta yakin beliau mempunyai kualiti yang cukup dalam skuadnya untuk mengimbangi ketiadaan dua pemain tersebut.

Sementara itu, pemain tengah Jordan, Ibrahim Saadeh, yang berbangga menjadi sebahagian daripada skuad yang mencipta sejarah di sini, mengakui tekanan menjelang perlawanan esok tetapi yakin pasukannya mampu mencipta kejutan.

Artikel Berkaitan:

“Adalah satu kebanggaan bagi kami untuk melangkah sejauh ini. Ia memberi sedikit tekanan tetapi kami sudah terlatih dan bersedia untuk mara ke final. Ia akan menjadi permainan yang sukar. Kakitangan teknikal dan pemain semua bersedia untuk mara ke final..

"Jurulatih, penolong jurulatih dan kakitangan teknikal semuanya telah membantu kami mengkaji semula perlawanan sebelum ini dan mengenal pasti kesilapan kami. Sebagai pemain, sudah tentu saya bersedia untuk bermain jika dipilih dan pastinya, saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu Jordan mara ke peringkat seterusnya,” kata pemain kelab Al Khor berusia 23 tahun itu.

Jordan menewaskan juara 2007 Iraq pada pusingan 16 terakhir dan Tajikistan pada suku akhir untuk layak ke separuh akhir manakala Korea Selatan, yang kali terakhir memenangi kejuaraan pada 1960, menewaskan juara tiga kali Arab Saudi pada pusingan 16 menerusi penentuan penalti dan mengatasi juara 2015 Australia yang menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!