Gaji mahal pun makan rasuah

Kemampuan meminta rasuah wujud apabila seseorang itu mempunyai kedudukan serta kuasa dalam sesuatu organisasi dan biasanya mereka ini berpangkat tinggi.
Kemampuan meminta rasuah wujud apabila seseorang itu mempunyai kedudukan serta kuasa dalam sesuatu organisasi dan biasanya mereka ini berpangkat tinggi.
A
A
A

BANYAK pihak sebelum ini mendakwa faktor gaji rendah menjadi punca penjawat awam termasuk anggota polis meminta dan menerima rasuah.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Ahad menjelaskan faktor gaji bukan sebab utama anggota polis terjerumus dalam kancah rasuah sebaliknya ia hanyalah salah satu faktor.

Penjelasan Razarudin ada kebenarannya berdasarkan bukti yang dapat dilihat melalui laporan media setiap hari.

Penjenayah rasuah yang didakwa di mahkamah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

Rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu dalam sektor kerajaan dan swasta.

Amat jarang kita melihat seorang penjawat awam atau polis yang berpangkat rendah didakwa di mahkamah kerana makan suapan.

Ini kerana penjawat awam berpangkat rendah dan bergaji kecil ini biasanya tidak mempunyai kemampuan meminta rasuah.

Kemampuan meminta rasuah wujud apabila seseorang itu mempunyai kedudukan serta kuasa dalam sesuatu organisasi dan biasanya mereka ini berpangkat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Golongan sebeginilah yang sering kita lihat didakwa di mahkamah menerima rasuah sebagai ganjaran terhadap kontrak diberi.

Penjawat awam bergaji kecil tentulah berjawatan rendah dan tiada kuasa meluluskan sesuatu atau melantik kontraktor yang tentunya tiada kepentingan kepada pemberi rasuah.

Selain itu, tekanan kewangan juga antara faktor seseorang terjebak dalam rasuah.

Tekanan kewangan boleh terjadi akibat tindakan individu yang mengamalkan gaya hidup mewah dengan memiliki kereta mewah, rumah besar dan kerap melancong luar negara.

Dengan gaya hidup sebegini, gaji yang sebesar RM10,000 sebulan pun tidak akan cukup sekali gus menyebabkan mereka mencari jalan untuk mendapat wang lebih. Cara paling mudah tentulah menerima rasuah.

Faktor lain adalah peluang yang ada di depan mata. Seseorang itu cenderung melakukan rasuah apabila dia melihat wujud peluang untuk melakukannya dan yakin tidak akan tertangkap.

Oleh itu, menaikkan gaji penjawat awam semata-mata mahu kurangkan kes rasuah bukanlah jalan penyelesaian yang bijak.

Tanamkan ketakutan kepada penjawat awam bahawa mereka tidak akan terlepas jika makan rasuah tidak kira sebesar mana kuasa dan pangkat yang ada.

Insya-ALLAH cara ini lebih berkesan daripada menaikkan gaji.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!