Budaya membaca al-Quran perlu konsisten
KUALA TERENGGANU - Budaya membaca al-Quran perlu dijalankan secara konsisten dalam kehidupan seharian umat Islam.
Pentadabbur Rumah Ngaji Terengganu, Mahmud Jamaluddin berkata, meskipun dalam tempoh sedikit membaca al-Quran sewajarnya dijalankan secara berterusan termasuk menghayati kandungannya.
"Sebagai contoh pada era moden kini, orang ramai boleh menggunakan aplikasi pembelajaran al-Quran dalam talian seperti Think Quran.
"Aplikasi ini perlu dijadikan sebagai alat bantu mengajar atau silibus pembelajaran dalam setiap pengajaran al-Quran dalam kelas kepada pelajar terutama golongan muda.
"Perkara ini juga dapat menarik minat dan mempermudahkan proses belajar al-Quran. Walaupun secara sedikit tapi ia perlu dilakukan secara konsisten dan disiplin menggunakan (Think Quran) perlu diutamakan dalam urusan pembelajaran dan pengajaran al-Quran," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, antara kebaikan membaca al-Quran adalah mendapat pahala kebaikan yang dapat menghapuskan dosa dan kesalahan kecil.
"Selain itu, pembaca turut mendapat keberkatan kerana al-Quran itu sendiri mengandungi keberkatan kurniaan ALLAH SWT untuk diraih sekalian hambaNYA.
"Akhir sekali mendapat rahmat daripada ALLAH SWT sebagai Rabb (pemilik, pengurus dan pentadbir) sekalian alam yang terkadang hadir dalam bentuk kemudahan dalam banyak urusan kehidupan," jelasnya.
Aplikasi Think Quran dibangunkan Syarikat Think Osem Sdn Bhd yang turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Karya Bestari.
Modul aplikasi pendidikan ini amat berkesan kerana menawarkan teknik pembelajaran ringkas yang padat dalam masa singkat.
Aplikasi interaktif itu juga sesuai digunakan kanak-kanak dan dewasa.
Ia membolehkan pembelajaran dan penghayatan al-Quran dilakukan di mana-mana sahaja termasuk memanfaatkan masa sepanjang Ramadan.
Dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya 15 minit sehari pengguna mampu mengukur prestasi secara kendiri dalam aplikasi.
Selain itu, aplikasi tersebut juga menawarkan kaedah penguasaan bahasa Arab (al-Quran) melalui penggunaan kosa kata dan perkataan paling penting.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!