[VIDEO] Pemandu lori didakwa bunuh anak saudara usia 18 bulan
PETALING JAYA - Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membunuh anak saudara lelakinya yang berusia setahun enam bulan, pada dua minggu lalu.
M Kesigan, 28, yang memakai baju kemeja berwarna biru, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh kanak-kanak, T Hudesh di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Taman Putra Damai, Lembah Subang, di sini, pada jam 11.15 malam, 24 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 3 April depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 26 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera.
Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya berusia 20-an.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan lain.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami lebam dan kecederaan di beberapa organ dalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!