Guardiola puji karakter Foden

Foden. Foto AFP
Foden. Foto AFP
A
A
A

JURULATIH Manchester City, Pep Guardiola memuji impak besar yang dicetuskan oleh penyerang sensasi, Phil Foden apabila meledak hatrik ketika membantu The Citizens membenam Brenford 3-1 awal pagi Selasa.

Kemenangan itu menyaksikan tiga pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) bersaingan sengit apabila dipisahkan dengan dua mata.

Guardiola turut menyifatkan edisi kali ini sebagai musim terbaik buat pemain muda berusia 23 tahun itu yang sudah meledak 14 gol setakat ini.

“Dia adalah pemain yang mampu menghidu peluang jaringan.

“Saya fikir dia bermain pada musim terbaiknya sejak bersama pasukan. Sumbangannya menerusi gol, bantuan jaringan dan bermain lebih ke tengah. Memang sukar dipercayai,” katanya.

Menerusi kemenangan itu The Citizens menghuni tangga kedua liga berkongsi 49 mata dengan Arsenal di tempat ketiga ketinggalan dua mata di belakang peneraju EPL, Liverpool.

Namun City mempunyai kelebihan kurang satu perlawanan berbanding Liverpool dan Arsenal.

Dalam aksi itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi Neal Maupay pada minit ke-21, namun Foden menyamakan kedudukan buat City pada penghujung babak pertama.

Artikel Berkaitan:

Foden kemudian membuktikan bisanya apabila mengesahkan kemenangan The Citizens menerusi ledakan pada minit ke-53 dan 70.

Juara bertahan itu muncul pasukan EPL pertama menang empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan walaupun mereka terlebih dahulu ketinggalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!