Hampir berhenti sekolah, tidak sanggup tinggalkan ibu terlantar
KOTA BHARU - Seorang pelajar Tingkatan Lima di Kampung Pulau Semut, Kedai Mulong di sini hampir membuat keputusan untuk berhenti sekolah selepas tidak sanggup meninggalkan ibunya yang terlantar sakit akibat serangan angin ahmar.
Nur Amalina Nabila Awang Lah@Rahed, 17, memberitahu, ketika berada di sekolah hatinya sering tidak keruan dan kurang fokus dalam pelajaran apabila terkenangkan keadaan ibu, Nor Asikin Daud, 62, yang berseorangan di rumah.
"Hati mana yang tidak risau kerana ibu bersendirian selama lapan jam di rumah. Setiap hari sebelum hendak ke sekolah saya perlu memandikan, mempersiapkan dan memberi ibu makan terlebih dahulu.
"Kemudian sekitar jam 7 pagi saya ke sekolah di SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Long Ghafar 2 menaiki motosikal dan akan pulang ke rumah sekitar jam 3 petang," katanya kepada pemberita.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu hanya ALLAH tahun perasaannya apabila memikirkan keadaan ibu yang menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan paru-paru berair.
"Sebelum ini ibu berniaga air di Wakaf Che Yeh sebelum tiga kali diserang angin ahmar.
"Keadaan kesihatan ibu semakin teruk pada Ogos tahun lalu," katanya.
Nur Amalina Nabila berkata, dia tahu hanya pelajaran mampu mengubah nasib keluarganya sebelum akhirnya nekad untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai langkah awal.
Katanya, selepas selesai menguruskan ibu dia akan menyambung tugas sebagai pelajar dengan mengulang kaji pelajaran bagi memastikan tidak ketinggalan.
"Alhamdulillah, guru-guru dan rakan-rakan banyak membantu. Ia sekali gus memudahkan lagi tugas saya memahami setiap mata pelajaran," ujarnya yang kematian bapa pada tahun 2013.
Katanya, dia kini hanya bergantung hidup dengan bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM150 sebulan.
"Saya tinggal di rumah peninggalan ayah walaupun bumbung bocor serta sudah uzur namun ruang tamu masih boleh digunakan, bil elektrik mendapat subsidi dan air guna telaga," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7611685578 atas nama Nor Asikin Daud.
Dalam pada itu, Pegawai Agihan Zakat, Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ikhwan Mat Yasin @ Hashim berkata, keluarga berkenaan menerima manfaat bantuan zakat pada tahun 2017, 2019 dan 2022.
“Walaupun keluarga ini tidak membuat permohonan kepada MAIK tetapi setelah kes ini tular di media sosial pihak MAIK telah turun padang melakukan siasatan dan telah meluluskan bantuan segera untuk membantu mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, MAIK juga telah meluluskan Bantuan Perubatan berjumlah RM2,000.
Tambahnya, bukan itu sahaja, keluarga berkenaan juga tidak perlu bimbang dengan perbelanjaan bulanan kerana pihak MAIK meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM600 sebulan yang akan bermula awal Mac 2024.
Ikhwan memberitahu, bagi keselesaan tempat tinggal dua beranak tersebut, pihak MAIK turut meluluskan bantuan rumah sewa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!