SPRM beku akaun: AGC akan bantah permohonan Aman Palestin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Aman Palestin Berhad berhubung pembekuan 11 akaun bank milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), November tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili AGC memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh hari ini, yang turut dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Aman Palestin.

Muhammad Rafique memberitahu mahkamah permohonan itu perlu didengar segera kerana terdapat keperluan mendesak untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik di Semenanjung Gaza.

Hakim Amarjeet menetapkan 13 dan 20 Februari bagi pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis serta menetapkan 27 Februari untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Pada 31 Januari lepas, Aman Palestin selaku pemohon memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai agensi itu Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff, SPRM dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.

Dalam permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 Nov 2023 menurut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 terhadap 11 akaun bank milik pemohon.

Turut dipohon perintah mandamus agar SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja-pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan, selain memohon deklarasi bahawa pemohon berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam dan seterusnya menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan jumlah wang sumbangan yang ada di dalam akaun pemohon (sebelum perintah pembekuan) tidak dapat disalur kepada mangsa-mangsa serangan rejim Israel di Gaza, sedangkan mereka memerlukan bantuan daripada pemohon dengan segera. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!