Murid jalan kaki 4km ke sekolah, penduduk minta jalan diturap
TUARAN - Enam kanak-kanak dari Kampung Talantang, Kiulu, di sini terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer untuk ke sekolah jika tiada kenderaan yang dapat keluar dari kampung tersebut.
Ia dimaklumkan penduduk sendiri susulan jalan penghubung kampung tersebut belum berturap dan berlumpur ketika musim hujan sekali gus menyebabkan jalan tersebut yang hanya boleh dicapai menggunakan pacuan empat roda sukar dilalui.
Menurut penduduk Kampung Talantang, Lasius Pangin, 49, enam murid tersebut termasuk dua anaknya terpaksa berjalan kaki untuk ke sekolah jika tiada kenderaan atau laluan itu sukar dilalui ketika musim hujan.
"Biasanya tayar akan mudah terbenam disebabkan keadaan jalan yang licin dan berlumpur sekali gus mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.
"Jadi anak-anak saya secara berkumpulan akan berjalan kaki sebelum jam 6 pagi dan mengambil masa sehingga satu jam setengah untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lokub," katanya ketika ditemui di Kampung Talantang, di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, laluan itu dibuka sejak tahun 1993 namun sehingga kini belum dinaik taraf kepada jalan berturap.
Sehubungan itu, Lasius berharap jalan berbukit menuju ke kampung mereka itu dapat dinaik taraf segera bagi memudahkan penduduk terutama murid menggunakan laluan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Vester Douni, 40-an, berkata, permohonan untuk menaik taraf jalan sudah dikemukakan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Saya sudah meminta surat sokongan supaya permohonan kami diteliti dan berharap lawatan ke jalan ini dapat dilakukan supaya ia boleh diambil tindakan segera.
"Setakat ini hanya batuan ditabur di atas jalan tetapi tidak pada keseluruhan laluan tersebut. Jadi setiap tahun, ada dua atau tiga kali saya akan rujuk kepada JKR supaya jalan ini dapat diturap sepenuhnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!