Polis dibenar miliki wang tunai RM100 sahaja ketika operasi

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap anggota dan pegawai polis dibenarkan memiliki wang tunai berjumlah RM100 ketika menjalankan sesuatu penugasan atau operasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah wang yang dibawa itu boleh lebih daripada RM100 sekiranya ia diisytiharkan dalam buku catitan (pocket book) serta dimaklumkan kepada penyelia bertugas.

"Mengikut prosedur pemilikan wang yang dibenarkan dibawa ketika operasi atau penugasan sememangnya hanya RM100, kalau lebih kena maklum sebelum operasi dijalankan.

"Perkara ini sememangnya sudah termaktub dalam peraturan yang ditetapkan dan setiap anggota dan pegawai polis perlu mematuhinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Selasa.

Sementara itu, mengulas berkaitan 10 anggota polis trafik yang disiasat berhubung penemuan wang tunai lebih RM3,000 semasa melaksanakan operasi sebelum ini, Hussein berkata, siasatan masih dijalankan berhubung kejadian terbabit.

"Setakat ini siasatan dijalankan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 selain siasatan dibawah tatatertib.

"Kes ini masih dalam siasatan, kita perlu siasat sama ada wang yang ditemui adalah wang milik sendiri atau ada elemen-elemen lain termasuk ada dibuat pengeluaran wang atau sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan 10 anggota polis trafik termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor disiasat berhubung penemuan wang berkenaan di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan Op Alkohol.

Hussein sebelum ini memaklumkan kesemua anggota terlibat akan melakukan tugasan pentadbiran sehingga siasatan selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!