Felda mampu kembali jadi peneraju industri sawit dunia
KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) disaran supaya memanfaatkan sepenuhnya 800,000 hektar tanah miliknya demi meningkatkan hasil tanaman secara konsisten sekali gus kembali menjadi peneraju terunggul dalam industri perladangan kelapa sawit.
Saranan itu dikemukakan Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mana beliau menyatakan, Felda telah terbukti merupakan pengendali tanaman kelapa sawit yang paling efisien satu ketika dahulu.
Namun, untuk kembali kepada status tersebut katanya, Felda perlu menggerakkan daya usaha, kemahiran dan kepakaran sendiri.
Malah, beliau berpandangan bahawa gabungan pengurusan ladang yang baik dengan mengadaptasi teknologi masa kini, Felda mampu mencapai hasil pengeluaran yang sangat menguntungkan.
"Jika Felda boleh (konsisten) hasilkan 18 tan metrik setiap hektar, kita boleh jadi pengeluar CPO (minyak sawit mentah) terbesar iaitu 2.8 juta tan metrik.
"Dengan harga kelapa sawit hari ini iaitu RM4,000 (per tan metrik), kalau keuntungannya RM1,000 (per tan metrik), kita boleh jana keuntungan RM2.8 bilion.
"Bayangkan jika harga naik sehingga RM5,000 hingga RM6,000 (per tan metrik). Berapa banyak lagi untung?. Akhirnya kita kena tengok perladangan ini sebagai satu konsep perniagaan, apatah lagi sekarang ini dunia berdepan dengan masalah keselamatan makanan," katanya..
Johari berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Felda 2024 Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera, di sini pada Selasa.
Modal bernilai
Pada masa sama, Johari berkata, tanah milik Felda merupakan modal bernilai yang mampu menghasilkan rantaian ekonomi untuk jangka masa panjang.
Pada tahun lalu, Felda mencatatkan pengeluaran 16.49 tan metrik bagi setiap hektar tanah.
Ujarnya, ia merupakan kekuatan dan kebolehan yang ada pada Felda pada hari ini yang juga berpotensi membuka peluang-peluang perniagaan lain.
"Saya mahu generasi Felda dapat manfaat daripada rantaian ini. Perubahan akan nampak dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
"Felda perlu beri penekanan segmen hiliran, kita tidak mahu industri kelapa sawit senasib dengan getah di Malaysia," jelasnya yang turut yakin generasi Felda berpotensi dan mampu menguruskan ladang dengan lebih baik dengan kepakaran dan kelayakan yang mereka miliki.
Malah, ada sesetengah generasi Felda tegas beliau berkebolehan menguruskan ladang-ladang swasta dengan lebih efisien.
“Jika mereka di sana (ladang swasta) boleh, kenapa tidak di Felda?. Jadi, ruang perlu diberikan untuk mereka urus ladang-ladang Felda ini sebagai organisasi yang berasaskan keuntungan," katanya.
Ekonomi kitaran
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dasar kerajaan diperlukan bagi melaksanakan ekonomi kitaran yang menjadi asas kepada pendekatan baharu bagi memperkasakan hasil Felda.
Katanya, hala tuju yang disarankan Johari itu akan dibincangkan secara terperinci.
"Dahulu sisa-sisa sawit dianggap tidak berguna tapi sekarang ia merupakan perkara penting dan sepatutnya dinilai kerana merupakan pendapatan dan sumber baharu.
"Felda mempunyai kekuatan ekonomi sendiri. Jadi aspek keusahawanan, kesihatan, pendidikan, tenaga kerja yang dapat kita hasilkan menjadi suatu pendekatan yang besar dan perlu dilihat secara menyeluruh di masa akan datang," katanya.
Pemerkasaan ekonomi Bumiputera
Sementara itu, Simposium Felda 2024 itu mengetengahkan usul resolusi untuk dibentang dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB24) bagi merevolusikan pembangunan ekonomi Bumiputera seluruh negara.
Ia bertepatan dengan tema 'Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Melalui Sumber Tanah' bagi Kumpulan 10 yang menunjang aspek Felda dan Tanah Wilayah.
Usul tersebut merangkumi tiga skop utama iaitu Transformasi Pertanian Dalam Meningkatkan Keterjaminan Makanan Negara, Peralihan Adil Ekonomi Bumiputera dan Penggunaan Tanah Dalam Memacu Ekonomi Berimpak Tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!