Pemandu maut van kilang jatuh gaung
BALING - Seorang pemandu van kilang maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Jalan Kampung Kuala Bakong pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Padang Serai untuk mengambil penumpang.
Menurut beliau, pemandu, Meh Md Zeen, 64, beralamat dari Kampung Merbau Pulas mengalami kecederaan di keseluruhan badan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
"Kemalangan tersebut berlaku di mana mangsa dari arah Baling dalam perjalanan untuk mengambil pekerja di Padang Serai.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu jatuh ke gaung di sebelah kanan," katanya.
Menurut Shamsudin, mangsa dilaporkan tersepit dan dibantu anggota bomba dan penyelamat, bagaimanapun disahkan meninggal dunia.
Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!