Datuk Seri antara 10 diberkas, 42 akaun judi online dibeku

Mohammed Hasbullah menunjukkan antara kenderaan mewah yang dirampas di ketika mengadakan sidang media di Menara KPJ pada Selasa.
Mohammed Hasbullah menunjukkan antara kenderaan mewah yang dirampas di ketika mengadakan sidang media di Menara KPJ pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket yang menawarkan perkhidmatan pembayaran pertukaran proses kewangan (FPX) untuk aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman, Datuk Mohammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya telah menahan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 27 tahun hingga 49 tahun secara berasingan sekitar Lembah Klang pada 28 Januari hingga 31 Januari lalu.

"Semua individu berkenaan terdiri daripada pembangun perisian, pemilik syarikat, pengendali, akauntan dan kerani," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mohammed Hasbullah berkata, pihaknya telah merampas sembilan unit telefon bimbit, tiga peralatan komputer, empat set dokumen, dua utas jam tangan, 10 buah kenderaan mewah dan wang tunai berjumlah RM325,000.

"Kita turut melaksanakan tindakan pembekuan ke atas 42 akaun bank berjumlah RM18,290,623 yang dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian," katanya

Mohammed Hasbullah berkata, berdasarkan risikan, sindiket itu mula beroperasi pada pertengahan 2022 dengan berselindung di sebalik sebuah syarikat.

"Syarikat itu membangunkan satu platform FPX bernama MyPay88 yang digunakan sebagai medium untuk pemain judi membuat bayaran bagi memulakan suatu pertaruhan," katanya.

Beliau berkata, sindiket tersebut berjaya melakukan transaksi sehingga mencecah RM576 juta setahun hasil daripada kadar perolehan (turnover).

Artikel Berkaitan:

"Kita turut mengesan 40 perjudian dalam talian yang menggunakan sistem tersebut sebagai platform pembayaran mereka.

"Platform berkenaan akan menerima komisyen dua peratus bagi setiap transaksi yang dilakukan, akaun yang disediakan oleh sistem berkenaan adalah akaun keldai dan dijana secara automatik," katanya.

Menurutnya, setakat ini, masih ada lagi transaksi dilakukan di gerbang pembayaran terbabit dan kita kesan ia berjumlah keseluruhan RM21 juta.

"Kejayaan tangkapan ini adalah kejayaan pertama dan rampasan terbesar yang pernah dibuat membabitkan sindiket FPX.

"Sindiket ini dikenal pasti menyalahgunakan kelompongan sistem pembayaran atas talian untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian dan jenayah lain," katanya.

Mohammed Hasbullah berkata, kesemua individu berkenaan direman selama tiga hingga 11 hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) akta sama serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!