KBS tidak halang Azizulhasni terus berlatih di Australia

Hannah ketika berucap di Forum Sukan Wanita di Yayasan Sime Darby di sini hari ini. Foto Bernama
Hannah ketika berucap di Forum Sukan Wanita di Yayasan Sime Darby di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak menghalang keputusan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sama ada untuk terus berlatih di Australia atau pulang ke tanah air.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan menyerahkan segala keputusan itu kepada jurulatih dan doktor perubatan Mohd Azizulhasni demi kebaikan bekas juara dunia keirin 2017 itu.

"KBS tidak pernah ada halangan untuk atlet berlatih di mana, jurulatih kata itu yang terbaik untuk Azizulhasni dan kita fleksibel. Ini tempoh kritikal dalam beberapa bulan (sebelum Sukan Olimpik Paris 2024).

"Saya juga tidak pernah bimbang dengan (prestasi) Azizulhasni kerana dia sendiri mempunyai semangat juang yang tinggi untuk dapatkan emas," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Forum Sukan Wanita di Yayasan Sime Darby di sini hari ini.

Semalam dalam hantaran di Facebook, The Pocket Rocketman berkongsi mengenai Perikarditis atau radang jantung dialaminya sejak Januari lepas.

Perikarditis telah menyekat impiannya untuk menambah koleksi pingat acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Adelaide, Australia pada Ahad.

Terdahulu, pelumba berusia 36 tahun membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ apabila meraih pingat emas acara keirin pada Sabtu, walaupun telah disahkan menghidap Perikarditis dua minggu sebelum kejohanan.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Mohd Azizulhasni akan meneruskan rawatan di Australia dan KBS setakat ini belum menerima laporan penuh berhubung keadaan kesihatan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk Azizulhasni, ISN (Institut Sukan Negara), doktor dan jurulatih (John Beasley) ada bagi makluman, sekarang dia di Australia dan untuk perkembangan semasa, doktor akan cakap sendiri kepada dia," katanya.

Sementara itu, Hannah menyeru semua atlet di bawah program Road to Gold (RTG) supaya melipat gandakan usaha untuk melayakkan diri ke Paris sekali gus merealisasikan impian emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Menurutnya, segala sokongan dan keperluan atlet di bawah program berkenaan telah diberikan oleh kerajaan termasuk membabitkan peruntukan kewangan.

"Sekarang tidak timbul soal duit tidak cukup untuk latihan dan tidak cukup sokongan kerajaan. Beberapa bulan lepas, semua sokongan yang atlet perlukan kita sudah bagi. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah berikan bajet yang mencukupi untuk RTG,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!