Sampah haram di tebing Sungai Tebrau terbakar
JOHOR BAHRU - Pembuangan sampah haram di tebing Sungai Tebrau berhampiran pangsapuri Bandar Dato Onn di sini semakin serius dan perlu diselesaikan segera.
Keadaan lebih meruncing apabila berlaku kebakaran di sepanjang 500 meter tebing sungai berkenaan dipercayai berpunca akibat pembakaran sampah sarap dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berkata, perkara itu sudah tidak boleh dibendung dan perlu perhatian segera.
"Saya terkejut melihat keadaan sampah yang banyak dan pasti sudah sejak bertahun lamanya. Keadaan ini boleh mendatangkan penyakit, pencemaran bau serta paling utama mengotorkan Sungai Tebrau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Steven Choong sebelum itu melakukan pemantauan di kawasan berkenaan selepas menerima makluman kebakaran daripada penduduk setempat kira-kira jam 5 petang semalam.
“Keadaan itu sangat menyedihkan dan perlu ditangani. Jadi saya berharap semua agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SWCorp dan Majlis Bandaraya Johor Bahru boleh bekerjasama menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agensi berkaitan mengalihkan kesemua sampah berkenaan serta menyita kawasan itu supaya tidak lagi dijadikan tempat pembuangan sampah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!