Pendaki wanita maut, sesak nafas ketika daki Gunung Reskit
JERANTUT - Seorang pendaki wanita meninggal dunia di Gunung Reskit dekat Kuala Tahan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis memberitahu, mangsa berusia 52 tahun itu dilaporkan mengalami sesak nafas ketika mendaki.
Menurutnya, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jerantut menerima panggilan dari Ketua Balai Polis Merapoh pada jam 12.45 tengah hari memaklumkan ada satu kematian membabitkan seorang wanita ketika mendaki gunung terbabit.
"Mangsa telah mengikuti program pendakian Gunung Tahan yang bermula sejak 1 Februari lalu.
"Semasa pendakian, wanita itu telah mengalami sesak nafas dan meninggal dunia. Jangkaan masa kejadian lebih kurang jam 7.30 pagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, arahan pengurusan untuk membawa keluar mayat sedang diatur dan mangsa masih belum dapat dikeluarkan kerana faktor cuaca.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!