Kru kapal dari Kelantan ditemukan mati dalam hotel di Miri
KUCHING - Seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan di dalam sebuah bilik hotel di Miri, sebuah bandar raya di utara Sarawak, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa merupakan seorang kru kapal yang berasal dari Kelantan dan menginap di hotel tersebut bersama empat rakan setugasnya.
"Sejurus menerima laporan, polis telah ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.
"Mangsa disahkan telah meninggal di tempat kejadian oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Miri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson berkata, kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Miri untuk proses bedah siasat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!