'Getah paip pun nak curi ke?'
ALOR SETAR - "Amboi abang Myvi ni, getah paip pun nak curi ke?" Demikian sindiran pengguna Facebook dikenali Aishah Shuib kepada penumpang kereta tersebut apabila perbuatannya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis menjual produk kesihatan dan kecantikan.
Aishah berkata, insiden itu berlaku jam 1 pagi pada 3 Januari lalu.
Hasil pemerhatian CCTV, sebuah Myvi berwarna jingga berhenti di hadapan premisnya sebelum seorang lelaki memakai baju kemeja-t warna biru terang dan berseluar pendek keluar dari pintu hadapan penumpang kereta terbabit.
Rakaman CCTV pada saat ke 13, memaparkan lelaki berkenaan menanggalkan paip getah yang bersambung ke pili paip di hadapan premis tersebut.
Kurang dari 30 saat, lelaki berkenaan berjaya mencuri paip getah, namun sebelum beredar, dia melihat ke arah CCTV sambil kedua tangan menyusun 10 jari seperti memohon maaf kepada pemilik premis.
Aishah menyifatkan tindakan lelaki tersebut sebagai memalukan.
Bagaimanapun, rata-rata netizen beranggapan kemungkinan 'pencuri' itu terdesak dan mahu meminjam paip getah kerana ketika itu jam 1 pagi dan pastinya kedai belum beroperasi.
"Mungkin nak pinjam kejap, nak beli mana ada kedai buka pagi buta tu," kata Intan Hazwani.
M Fadli pula berkata, "Dia siap tunduk hormat lagi dekat CCTV itu. Mungkin ada sesuatu yang penting dia nak guna paip getah tu, semoga dipermudahkan urusan abang Myvi."
Selain itu, ada juga netizen mengecam tindakan lelaki berkenaan kerana perbuatan mencuri adalah satu kesalahan.
Video berdurasi 1 minit itu telah ditonton 13,072 penonton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!