Pekerja Indonesia maut rumah dihempap pokok
TAMBUN - Seorang pekerja warga Indonesia maut selepas rumah didiami bersama lima rakan senegaranya dihempap sebatang pokok dalam kejadian angin kencang di sebuah tanah perkuburan cina Batu 10, Tanjung Rambutan di sini pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Shaharuddin Abd Ghani berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang.
"Setibanya di lokasi kejadian terdapat empat mangsa dilaporkan cedera ringan manakala seorang lagi parah dan kesemuanya berjaya dikeluarkan.
"Namun terdapat seorang mangsa masih terperangkap di bawah dahan pokok dan telah disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatab yang berada di lokasi kejadian," katanya di sini.
Menurut beliau, operasi menyelamat diteruskan untuk membawa keluar mangsa yang dianggarkan berusia 40-an tersebut.
"Anggota menjalankan kerja-kerja memotong pokok tersebut menggunakan peralatan khas seperti gergaji berantai, power unit, telescopic ram, beg pengangkat udara dan circular saw.
"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan pasukan melakukan pemantauan semula bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap," katanya.
Shaharuddin berkata, operasi yang berlangsung lebih tiga jam itu turut dibantu pasukan dari BBP Sungai Siput, PDRM dan Kementerian Kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!