Malaysia tak cukup graduan mahir teknologi tinggi

Cadangan membenarkan graduan asing di IPT dalam negara bekerja sementara untuk bidang tertentu membuktikan Malaysia ketandusan tenaga mahir baharu dalam kalangan graduan tempatan. Foto hiasan
Cadangan membenarkan graduan asing di IPT dalam negara bekerja sementara untuk bidang tertentu membuktikan Malaysia ketandusan tenaga mahir baharu dalam kalangan graduan tempatan. Foto hiasan
A
A
A

CADANGAN membenarkan graduan asing di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara bekerja sementara untuk bidang tertentu membuktikan Malaysia ketandusan tenaga mahir baharu dalam kalangan graduan tempatan.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberhasilan dan keberkesanan hala tuju pendidikan negara sejak puluhan tahun dahulu bagi bidang teknologi tinggi.

Apabila terpaksa menggaji graduan asing, ia jelas menunjukkan kegagalan IPT di negara ini melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk sektor berkenaan.

Ini tidak sepatutnya berlaku kerana sejak memasuki zaman milenium, ledakan Revolusi Industri 4.0 hangat diperkatakan dan Malaysia tidak terkecuali mempersiapkan negara ke arah itu termasuk dari aspek tenaga mahir tempatan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu bertindak segera meneliti semula dasar berkaitan graduan tenaga mahir apabila difahamkan ketika ini, industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 jurutera namun IPT tempatan cuma mengeluarkan 5,000 graduan setahun.

Angka itu didedahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika memperjelaskan sebab kerajaan mahu membenarkan graduan asing bekerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia.Kata beliau, langkah langkah tersebut hanya bersifat sementara sebagai solusi segera kepada industri bagi memenuhi permintaan pelabur yang sangat memerlukan pada masa sekarang.

Bagaimanapun ia tidak melibatkan semua sektor tetapi pertimbangan hanya diberikan untuk bidang yang tidak cukup bakat tempatan.

Ini tidak bermakna kerajaan menafikan hak graduan tempatan kerana MITI selama ini bekerjasama untuk menambah bilangan pelajar mahir seperti melalui program Kemahiran Bersama Industri dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta pelbagai agensi lain.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, mekanisme baharu perlu dilaksana supaya kerajaan tidak berdepan situasi sama pada masa akan datang yang pasti memerlukan lebih ramai tenaga mahir teknologi tinggi selari dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Jika tiada langkah drastik dilakukan, tidak mustahil satu hari nanti bidang teknologi tinggi di Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja warga asing seperti mana sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!