Kelar budak: Suspek ada masalah mental
YAN - Suspek kes bunuh dua beradik di Kampung Kuala Sungai Yan dipercayai mempunyai masalah mental.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, pihaknya telah melakukan soal siasat ke atas suspek, namun masih belum menemui motif pembunuhan berkenaan.
Katanya, suspek yang berusia 49 tahun itu akan direman selama tujuh hari bermula hari ini.
"Kita belum mengetahui motif sebenar pembunuhan ini berlaku dan kes masih dalam siasatan awal," katanya.
Mior Farid Al Atrash berkata, kanak-kanak berkenaan cedera parah ekoran ditetak dan dikelar menggunakan parang.
"Kita telah menemui senjata parang berkenaan di jalan dan di rumah suspek," katanya ketika sidang media di pekarangan rumah mangsa di Kuala Sungai Yan.
Tambahnya, pihak polis akan memanggil kesemua saksi yang berada di lokasi kejadian bagi tujuan membantu siasatan.
Menurutnya, suspek turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!