'Bersara awal bukan kerana kecewa dengan KPM’ - Cikgu Fadli

Tangkap layar hantaran Cikgu Fadli di laman Facebooknya pada Selasa.
Tangkap layar hantaran Cikgu Fadli di laman Facebooknya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang tular kerana lantang menyuarakan isu membabitkan sistem pendidikan kepada Pusat Pendidikan Daerah (PPD) mengakui keputusannya bersara awal bukan kerana kecewa dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau yang dikenali sebagai Cikgu Fadli berkata, keputusan mengundurkan diri dari dunia pendidikan itu dibuat bagi menghormati ‘tuan rumah’ dan tidak mahu bersikap biadab.

“Sedikit pencerahan, saya memilih bersara awal bukan kerana kecewa dengan KPM, bahkan saya terlalu sayangkan KPM dan dunia pendidikan.

“Cuma adab Melayu apabila bertandang ke rumah orang, tak molek kita membuat onar sesuka hati.

“Saya tak mahu jadi tetamu biadab terhadap tuan rumah yang baik hati, kerana kasihkan dan hormati tuan rumah, saya undur diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Cikgu Fadli yang juga aktivis masyarakat didakwa dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja kerana menyuarakan isu berkaitan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, waktu belajar dan bilangan murid dalam kelas.

Guru matematik sekolah rendah tersebut mendakwa, perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku memandangkan dirinya tidak pernah terlibat dalam apa-apa masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.

Bagaimanapun, Lembaga Tatatertib KPM memutuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cikgu Fadli memaklumkan, beliau akan terus berada dalam bidang pendidikan meskipun berbeza haluan.

“Suara saya akan sentiasa ada, terima kasih buat seluruh warga KPM selama ini, maafkan apa jua salah dan silap,” ujarnya.

Tambah Cikgu Fadli yang turut memuat naik dua tangkap layar hantaran di platform sama, beliau bakal bersara awal selepas menerima surat kelulusan berkuatkuasa pada 1 Mac ini.

“Apabila surat kelulusan sampai kat sekolah, cikgu-cikgu pakat tahu, terus saya ‘WhatsApp’ pengerusi kelab guru beritahu awal tak payah la buat majlis beria. Tak nak bebankan kawan, murid dan ibu bapa.

“Cukuplah majlis ringkas untuk saya bagi amanat terakhir, esok majlisnya saya cuma pakai baju kemeja lengan panjang, tanda nama, seluar ‘slack’ dan kasut kerja.

“Tak mahu pakai songket macam pengantin, cukuplah pengakhiran karier pun sederhana sebagaimana saya bermula dahulu,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!