Klinsmann belum fikir letak jawatan, fokus Piala Dunia 2026
PENGENDALI Korea Selatan, Jurgen Klinsmann belum berhasrat meletak jawatan selepas Korea Selatan tewas, 0-2 kepada Jordan pada saingan separuh akhir Piala Asia di Stadium Ahmad bin Ali, pada Selasa.
Kekalahan mengejut itu menyaksikan skuad Taeguk Warriors gagal menamatkan penantian 64 tahun untuk memenangi gelaran buat kali ketiga.
Legenda Jerman berusia 59 tahun itu dilantik mengemudi Korea Selatan pada tahun lalu dengan kontraknya hingga Piala Dunia 2026.
Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanggungjawab dengan meletak jawatan, Klinsmann, yang merupakan pemenang Piala Dunia 1990 berkata, perkara itu bukan dalam rancangannya.
"Saya tidak merancang untuk melakukan apa-apa (meletak jawatan), saya mahu kembali dan menganalisis perlawanan kami sepanjang kejohanan, saya mahu bercakap dengan persekutuan (Persekutuan Bola Sepak Korea Selatan) tentang apa yang baik dan apa yang tidak baik.
"Saya fikir terdapat banyak perkara positif dalam pasukan ini yang masih meningkat menjelang Piala Dunia 2026. Kami akan melalui kempen kelayakan yang sukar dan banyak yang perlu dilakukan mulai sekarang," katanya pada sedia media selepas perlawanan itu.
Pada masa sama, Klinsmann berasa kecewa dan marah dengan prestasi buruk pasukannya, menyaksikan mereka gagal menghasilkan satu percubaan di sebalik penguasaan bola.
"Saya kecewa dan marah kerana kami begitu gigih untuk sampai ke tahap ini tetapi Jordan berhak menang dan mara ke final...mereka lebih agresif, tentu saja apabila anda ketinggalan, anda cenderung membuat kesilapan dalam mencari gol penyamaan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jordan mempunyai peluang untuk muncul juara kerana kekuatan, keyakinan dan kualiti pemain mereka.
Pada perlawanan malam ini, dua gol Jordan hadir pada separuh masa kedua dengan Yazan Al-Naimat meletakkan pasukan di hadapan sebelum gol Mousa Al-Tamari melengkapkan malam gemilang untuk The Chivalrous diketuai oleh Hussein Ammouta.
Kemenangan itu membolehkan Jordan, yang pertama kali beraksi di peringkat separuh akhir mencipta satu lagi sejarah dengan layak ke final.
Menanti Jordan di final Sabtu ini sama ada juara bertahan Qatar atau juara tiga kali Iran yang akan bertemu pada satu lagi separuh akhir di Stadium Al Thumama di Doha esok. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!