Gadis nekad tunggang motosikal dari Kulim ke Pasir Mas demi ibu

Zulkarnain dibantu dan dua individu lagi mengangkat motosikal Wan Nur Alya ke atas lori. Foto ihsan pengguna tiktok @leem1771
Zulkarnain dibantu dan dua individu lagi mengangkat motosikal Wan Nur Alya ke atas lori. Foto ihsan pengguna tiktok @leem1771
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Demi kasih terhadap ibu, seorang gadis sanggup menunggang motosikal sejauh 290 kilometer (km) dari Kulim, Kedah ke kampungnya di Jalan Slow Machang Pasir Mas, Kelantan selepas mendapat berita ibunya dimasukkan ke hospital.

Wan Nur Alya Danisha Wan Mohd Nazri, 20, berkata, dengan cuti hanya dua hari, dia berusaha mengejar masa tanpa memikirkan masalah atau bahaya lain.

Katanya, sebaik dimaklumkan ibunya, Nor Hidayati Baharom, 54, yang menghidap darah tinggi dirawat di wad kecemasan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), dia terus bertolak dari rumah sewanya kira-kira jam 1 pagi Jumaat.

"Saya nekad dan hanya fikir mahu berjumpa ma (ibu) yang baru keluar dari hospital.

"Kebetulan saya baru sahaja menerima gaji dan berhasrat mahu belanja makan ahli keluarga," katanya.

Bagaimanapun, katanya Wan Nur Alya, kira-kira setengah jam sebelum sampai ke kawasan Royal Belum, Grik, motosikal SYM yang baru dua minggu dibeli itu terbalik ke tepi longkang di kawasan selekoh Jalan Jeli-Grik.

"Saya cuba mengelak lubang tetapi terlanggar batu sebelum terbalik. Mujur ketika itu ada seorang lelaki memandu sebuah kereta mengiringi saya sejak memasuki jalan di Grik yang banyak lubang serta tidak rata," katanya.

Dia yang bekerja kilang bersyukur tidak mengalami luka namun bahagian depan motosikalnya rosak termasuk pecah lampu signal kiri dan atasnya.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, saya dibantu pengguna jalan raya yang prihatin dan menjaga keselamatan sepanjang jalan itu," katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut mengakui tidak boleh menaiki kenderaan lain kecuali menunggang motosikal kerana mudah mengalami loya dan mabuk.

"Saya memerlukan udara segar sepanjang perjalanan dan tidak pernah terfikir untuk mengambil lesen kereta berikutan kekurangan itu," katanya.

Bagaimanapun, Wan Nur Alya tidak mengambil serius anggapan dan kata-kata individu sekeliling terhadapnya kerana mereka tidak memahami situasi yang dialami.

"Sebenarnya, saya bekerja di Kulim kira-kira sepuluh bulan lalu dan tidak pulang ke kampung dalam tempoh tujuh bulan.

"Namun selepas itu saya mengambil keputusan menunggang motosikal dan sudah tiga kali pulang ke kampung tetapi dengan motosikal lama jenis sama," katanya.

Wan Nur Alya kini sudah pulang semula ke Kulim pagi Ahad lalu manakala ibunya dijaga bapa, Wan Mohd Nazri Wan Abd Kadir, 55.

"Adik saya, Wan Danish Haikal, 17, yang sedang belajar di sebuah pusat automotif di Kuala Terengganu akan pulang setiap minggu menjenguk orang tua kami," katanya.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, dia akan memastikan bertolak awal pagi dan membuat perancangan terbaik untuk diri sendiri.

Kisah Wan Nur Alia sebelum ini tular di media sosial kerana dia dibantu tiga individu termasuk seorang pemandu lori makanan haiwan, Zulkarnain Zulkifly, 31.

Sementara itu, Zulkarnain ketika dihubungi berkata, dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Besut, Terengganu untuk menghantar makanan haiwan.

Bagaimanapun, menurut lelaki itu, ketika berhenti rehat kira-kira jam 4 pagi, dia sempat membelek telefon dan melihat maklumat di satu grup di media sosial, Pengguna Lebuhraya Timur Barat (JELI-GRIK) memaklumkan kejadian itu.

"Saya cuba berkomunikasi dengan rakan-rakan lain namun mereka tidak melalui jalan itu.

"Atas rasa simpati, saya berpatah balik memandu lori lima tan yang sarat muatan untuk cuba membantu dan kami berempat berjaya mengangkat motosikal ke atas lori.

"Alhamdulillah, perjalanan kami dipermudahkan dan penunggang motosikal juga selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!