Keputusan rayuan pendakwaan kes bunuh CEO Cradle Fund esok
PUTRAJAYA - Keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, akan diputuskan Mahkamah Rayuan, di sini pada jam 2 petang Khamis.
Keputusan rayuan berkenaan akan diputuskan oleh Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Jika keputusan memihak kepada pendakwaan, Samirah, 49, dan dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun perlu membela diri atas pertuduhan membunuh namun sekiranya keputusan menyebelahi mereka, mahkamah akan mengekalkan pembebasan itu.
Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokkan harinya.
Perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor telah bermula pada 6 September 2019 dengan seramai 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dipanggil memberi keterangan.
Semua tertuduh ketika itu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hazlan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah; Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi.
Pada 21 Jun 2022, Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah dan dua remaja berkenaan.
Kemudian pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pemohon, memfailkan notis rayuan terhadap keputusan yang membebaskan Samirah dan dua remaja ini selaku responden.
Ab Karim dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa Samirah membunuh suaminya bersama dua remaja berkenaan.
Menurut hakim ini, tiada keadaan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan.
Selain itu katanya, berdasarkan keterangan seorang saksi juga, tiada kesan jelaga (hitam) ditemui pada mangsa yang dirumuskan Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran.
Tiada tanda menunjukkan mangsa cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!