Permukiman KSSB tingkat hasil negeri
SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjaya mencatatkan prestasi kewangan terbaik pada tahun lalu dengan rekod peningkatan 24 peratus kutipan hasil berjumlah RM246.4 juta kepada kerajaan Selangor.
Sebagai salah sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri, pencapaian tersebut mengatasi rekod pada tahun 2022 yang mana KSSB berhasrat untuk meningkatkan lagi kutipan hasil pada tahun 2024.
Malah, hasrat itu bertepatan dengan amanat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada tahun ini yang menekankan mengenai hala tuju dan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi tahun 2024.
Semasa menyampaikan amanat tersebut pada 15 Januari lalu, Amirudin turut menegaskan semua syarikat milik kerajaan negeri termasuk KSSB mempertingkat kecekapan serta keberkesanan pengurusan demi mencapai aspirasi kerajaan negeri untuk membentuk pembangunan komprehensif menjelang tahun 2025.
Malah, Amirudin turut menggesa warga kerja yang bernaung di bawah Kerajaan Selangor supaya bertindak lebih pantas dan bergerak secara profesional selain mengadaptasi dengan perubahan yang berlaku di samping meneliti setiap implikasi dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat negeri itu.
Sehubungan itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Abdul Rahman Ishak mengingatkan semua kakitangan KSSB supaya menjaga amanah serta berintegriti selain sentiasa bersikap proaktif, mengamalkan komunikasi yang komprehensif serta tidak terlalu selesa dengan apa yang telah dicapai oleh syarikat.
Ingatan itu ditegaskan beliau semasa menyampaikan amanat kepada hampir 300 kakitangan KSSB semasa aktiviti permukiman KSSB yang bertemakan "A Gathering of Minds, A Tapestry of Visions" dan berlangsung di Wyndham Acmar, Klang pada 7 Januari lalu.
Aktiviti permukiman atau lebih sinonim sebagai KSSB Employee Townhall 2024 itu merupakan rutin tahunan anak syarikat kerajaan negeri itu yang memainkan peranan menilai prestasi jabatan melalui sesi pembentangan dan soal jawab di antara kakitangan dan pengurusan atasan syarikat.
“Penekanan perkara ini (permukiman) penting dalam mencapai objektif yang ditetapkan syarikat bagi menyokong aspirasi Menteri Besar Selangor (Amirudin),” jelas Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin.
Sejak ditubuhkan pada 2008, KSSB telah memberi pulangan hasil sebanyak RM715.2 juta kepada kerajaan Selangor melalui pecahan seperti dividen, royalti Pejabat Daerah dan Tanah, sumbangan kerajaan Selangor, penghargaan kepada pemilik tanah, Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600, kolam ABBASS, zakat, cukai dan tanggungjawab sosial korporat.
Malah, operasi KSSB yang merupakan peneraju dalam sektor perlombongan itu dibantu oleh enam anak syarikat di bawahnya yang menjalankan aktiviti pelbagai bidang.
Enam anak syarikat KSSB itu terdiri daripada KSSB Consult Sdn Bhd, Infrasel Sdn Bhd, Selgem Sdn Bhd, Seltrade Sdn Bhd, Kuala Langat Mining Sdn Bhd dan Darul Khusus Venture Sdn Bhd sekali gus berusaha mengembangkan perniagaan dan perkhidmatan ke peringkat global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!