Lawatan Mohamad bukti hubungan rapat, komitmen Malaysia-Indonesia

Mohamad (kanan) mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa lawatan rasmi sulung Menteri Luarke Jakarta pada Selasa.
Mohamad (kanan) mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa lawatan rasmi sulung Menteri Luarke Jakarta pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lawatan rasmi sulung Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Jakarta pada Selasa merupakan bukti kepada hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Mohamad yang turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, lawatan itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan dengan kerajaan Indonesia dan meningkatkan kerjasama di peringkat ASEAN.

"Menteri Luar juga menyentuh mengenai aktiviti perdagangan sempadan di Tebedu (Sarawak) dan Entikong (Kalimantan) dapat digiatkan semula untuk mencapai sasaran dagangan tahunan sebanyak AS$30 bilion (kira-kira RM143 bilion) seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Luar pada 12 Disember 2023 turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Retno Marsudi.

Kedua-dua pihak membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

"Pertemuan itu juga memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan dalam hubungan dua hala dan meneroka potensi kolaborasi baharu ke arah mengukuhkan lagi perkongsian sedia ada," menurut kenyataan itu.

Selain isu dua hala, Menteri Luar turut bertukar-tukar pandangan dengan Presiden Jokowi dan rakan sejawatannya mengenai perkembangan serantau dan global terutamanya berhubung situasi di Myanmar dan konflik di Palestin.

Kedua-dua negara mengulangi komitmen untuk berkerjasama rapat dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit. Malaysia dan Indonesia ialah negara pengeksport utama dunia bagi komoditi itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 2023, Indonesia disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).

Menteri Luar juga berbincang dengan rakan sejawatannya dari Indonesia untuk menyelesaikan krisis di Myanmar melalui ASEAN dan menekankan pentingnya perpaduan ASEAN dalam menangani isu berkenaan.

"Menteri Luar juga mengulangi pendirian Malaysia yang turut dikongsi oleh Indonesia, mengenai perjuangan rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dipisahkan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka,” menurut Wisma Putra. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!