Pemimpin dunia kirim doa buat Raja Charles III
LONDON - Sebilangan pemimpin dunia mengirim doa buat Raja England, Raja Charles III yang disahkan menghidap kanser seperti yang diumumkan oleh Istana Buckingham.
Selain doa, pemimpin-pemimpin berkenaan juga menitip ucapan semoga Raja Charles III akan diberikan kesembuhan yang segera untuk menerajui Britain.
Antara yang berkongsi keprihatinan mengenai keadaan kesihatan Raja Charles III termasuklah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak; bekas pemimpin UK, Boris Johnson dan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Raja Charles III yang berusia 75 tahun disahkan menghidap kanser yang tidak didedahkan dan telah memulakan rawatan selepas keluar dari hospital selepas pembedahan prostat, kata Istana Buckingham dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Doktor yang menasihatkan Raja Charles III telah menasihatkan baginda untuk menangguhkan tugas bertemu orang ramai.
Perdana Menteri UK, Rishi Sunak, menulis di akaun X mendoakan Raja Charles III pulih sepenuhnya dengan cepat.
"Saya tidak ragu-ragu baginda akan kembali bertenaga penuh dalam masa yang singkat dan saya tahu seluruh negara akan mendoakan kesejahteraannya," tambah Sunak.
Presiden Joe Biden seperti dilaporkan AFP berkata, beliau "prihatin" mengenai keadaan kesihatan Raja England dan memaklumkan beliau "baru mendengar" berita diagnosis kanser Raja Charles III.
Bekas Presiden AS, Donald Trump juga menulis di rangkaian Truth Socialnya bahawa Raja Charles III "seorang lelaki yang hebat" dan "kita semua berdoa agar baginda cepat sembuh!"
Bekas pemimpin UK, Boris Johnson pula berkata: “Seluruh negara akan menyokong Raja Charless III.”
Sementara Liz Truss menulis dalam hantaran di platorfm X mendoakan yang terbaik kepada Raja Charles III dan keluarga diraja semasa baginda menjalani proses rawatan.
“Baginda sentiasa berada dalam ingatan dan doa kami,” tulis Truss.
Istana Buckingham sebelum ini berkata, Raja Charles III memilih untuk berkongsi diagnosisnya "bagi mengelakkan spekulasi" dan dengan harapan ia dapat membantu pemahaman orang ramai untuk semua orang di seluruh dunia yang terjejas oleh kanser.
Raja Charles meninggalkan hospital swasta London minggu lalu tiga hari selepas menjalani prosedur untuk pembesaran prostat.
Istana Buckingham berkata Charles, yang menghabiskan tiga malam di hospital, telah menjadualkan semula komitmen tugas rasmi kerana mahu memberi perhatian pada kesihatannya. - Awani/Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!