Al-Quds Umrah sasar pemulihan penuh 2024
SYARIKAT pelancongan agensi umrah, Al-Quds Umrah & Tours Sdn Bhd (Al-Quds Umrah) bersedia mengorak langkah ke depan dengan menyasarkan perkembangan syarikat yang lebih kukuh pada tahun 2024.
Mengakui berlaku beberapa masalah berbangkit selepas krisis Covid-19, Al- Quds Umrah bertungkus lumus untuk memastikan operasi syarikat itu kembali pulih sepenuhnya pada tahun ini.
Pada masa yang sama, Pengarah Urusannya, Mohd Iskandar Hassan berkata, pihaknya juga sedang memuktamadkan satu perjanjian bagi menyuntik modal perniagaan sekali gus dapat menyelesaikan isu jemaah yang tertunda sebelum ini.
"Alhamdulillah kita berada dalam fasa terakhir proses suntikan modal tersebut dan Insya-ALLAH setelah mendapat suntikan dana berkenaan kita akan mula mengatur pergerakan jemaah tertangguh selain membuat baki pemulangan bagi mereka yang ingin mahukan kembali wang mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Iskandar berkata, pihaknya tidak pernah lari daripada tanggungjawab tersebut dan pintu perbincangan sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan hadir ke pejabat Al-Quds Umrah.
"Seperti yang kita ketahui, operasi kita terjejas pada akhir Februari 2023 apabila berlakunya peningkatan kos hotel dan penerbangan sehingga tiga kali ganda.
"Namun kita sentiasa komited untuk menerbangkan baki jemaah yang dianggarkan kira-kira 200 orang. Dalam masa yang sama kita memohon jemaah tersebut bersabar dan dapat diselesaikan dengan baik, "katanya.
Walaupun berlaku beberapa kali penjadualan semula disebabkan beberapa masalah yang dihadapi oleh syarikat, Al-Quds Umrah sentiasa berusaha menerbangkan mereka yang terlibat ke tanah suci Makkah tanpa sebarang kos tambahan yang ditanggung oleh pihak syarikat.
“Itulah komitmen syarikat terhadap jemaah Al-Quds Umrah,” kata Mohd Iskandar.
Menyentuh mengenai operasi semasa, Mohd Iskandar berkata, pergerakan operasi membawa ke tanah suci berjalan lancar dan beberapa penambahbaikan akan dibuat pada 2024.
"Pada 2023 kita berjaya membawa 3,000 jemaah, dengan adanya komitmen baru insya-ALLAH ia dapat meningkatkan kapasiti jemaah pada tahun ini,” tambah Mohd Iskandar.
Beliau berkata, Al-Quds Umrah sentiasa berkomunikasi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan mereka juga membuat beberapa cadangan penyelesaian berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992.
Apa yang jelas, katanya, dengan suntikan modal dan pelabur baharu nanti yang dijangka selesai pada Februari ini, pihaknya mahu memastikan Al-Quds Umrah kembali menjadi syarikat travel agensi yang disegani pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!