Selaraskan undang-undang, prosedur mahkamah syariah - PGSM
PUTRAJAYA - Semua undang-undang, prosedur dan tata kelola kehakiman dan perundangan di mahkamah syariah perlu diselaraskan di seluruh negara.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malasyia (PGSM) Musa Awang berkata, prosedur dan tata kelola yang tidak seragam di beberapa negeri agak meletihkan dan memenatkan pengamal undang-undang mahkamah syariah.
Menurutnya, sebagai contoh, tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami yang mana terdapat negeri yang memulakan prosiding dengan saman dan pernyataan tuntutan tetapi ada juga negeri yang menggunakan permohonan serta afidavit.
"Situasi sama berlaku apabila sesetengah peruntukan undang-undang terdapat di sesetengah negeri, akan tetapi tiada di negeri lain.
"Jadi mengapa perkara sekecil ini tidak dapat kita diselaraskan," katanya menerusi ucapan sempena Wacana Kehakiman dan Perundangan Islam dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain serta pegawai kanan Kehakiman seluruh negara.
Dalam pada itu, Musa berkata, mahkamah syariah berdepan dengan cabaran begitu hebat pada ketika ini dengan keputusan yang diputuskan dibawa dan dicabar ke mahkamah sivil.
"Cabaran bukan sahaja terhadap keputusan mahkamah syariah malah terhadap perundangan yang terpakai," ujarnya.
Beliau berkata, jika penyelarasan tidak dilakukan sudah pasti akan ada pihak yang akan menggunakan kelemahan tersebut sebagai senjata mereka untuk mencabar kehakiman dan perundangan Syariah.
"Sebagai contoh kes Indira Gandhi pada tahun 2018, Iki Putra (2021) dan Nik Elin yang akan diputuskan pada Jumaat ini," katanya.
Selain itu, beliau turut mengharapkan pindaan segera kepada akta atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri-negeri dapat disegerakan untuk mempertingkatkan hierarki mahkamah syariah daripada tiga kepada empat tingkatan seperti di Perak.
"Sudah sampai masa untuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengambil alih tanggungjawab menjadi urusetia bagi meminda undang-undang ini dan yang berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!