KPDN Johor lupus pelbagai barangan tiruan bernilai RM6.49 juta

Lilis Saslinda (tengah) bersama pegawai KPDN Johor bertindak menggunting barangan tiruan yang dirampas pada Rabu.
Lilis Saslinda (tengah) bersama pegawai KPDN Johor bertindak menggunting barangan tiruan yang dirampas pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor melupuskan pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai RM6.49 juta hasil rampasan yang dilakukan sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, antara barangan yang dilupuskan melibatkan pakaian, kasut, tembakau, kabel wayar, minyak wangi dan peralatan kosmetik.

“Tindakan (melupuskan) barang-barang rampasan ini susulan pelanggaran di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019.

"Kesemua barangan yang dilupuskan melibatkan sejumlah 226 kes (rampasan) yang telah pun diselesaikan.

"Selain hasil rampasan tersebut, pihak KPDN juga sudah mula mengutip kompaun dan denda berjumlah RM1 juta termasuk kutipan hasil penguatkuasaan sebanyak RM567,528 sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Sementara itu, Lilis Saslinda mengakui pihaknya ada menerima aduan khususnya daripada pemilik barang dagangan yang memaklumkan terdapat pihak menjual produk tiruan barangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aduan seperti ini sebenarnya perlu disertakan lokasi premis dan maklumat yang berkaitan agar pihaknya mudah untuk gerakkan serbuan.

"Orang ramai boleh membantu pengguna agar tidak membeli produk tiruan tersebut yang ternyata tidak berkualiti selain boleh mendatangkan mudarat kepadanya.

"Oleh itu, orang ramai perlu mematuhi undang-undang perniagaan dan tidak menjual atau mengedar barangan tiruan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!