Bersih turun ke jalanan jika agenda Reformasi 100 peratus tidak dilayan
PETALING JAYA - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat turun semula ke jalanan jika agenda Reformasi 100 peratus yang dituntut tidak dilayan oleh kerajaan.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, gerakan rakyat ini mendesak kerajaan melaksanakan agenda Reformasi 100 peratus tanpa kompromi serta mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, jika isu lepas tanpa membebaskan (DNAA) dan pengampunan melibatkan ahli politik yang terlibat dengan rasuah tidak dibincangkan di Parlimen, Bersih akan mengambil jalannya sendiri demi rakyat.
“Bersih tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat turun semula ke jalanan sebagai bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang sedang enak diulit kekuasaan tanpa menghiraukan harapan rakyat menerusi pelbagai dalih untuk tidak bersama mendukung agenda reformasi
"Bersih bersama rakan-rakan dari pertubuhan masyarakat sivil (CSOs), gerakan anak muda serta gerakan mahasiswa dan rakyat hari ini ingin meluahkan kekecewaan dan kemarahan berhubung perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi di negara ini.
“Anugerah DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) dalam kes rasuah membabitkan para elit politik sehinggalah kepada kemuncak pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyemarakkan api kemarahan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersih di sini pada Rabu.
Jelasnya, ditambah pula dengan kegagalan pihak kerajaan untuk bersikap telus mengenai saranan yang diajukan kepada Lembaga Pengampunan, hal ini menunjukkan bahawa hak rakyat untuk mengetahui perkara sebenar tidak dihormati.
“Ini seolah memberi gambaran bahawa janji dan komitmen reformasi termasuk untuk membanteras rasuah dan pelakunya tidak lebih hanya sekadar menjadi halwa telinga semata-mata.
“Situasi ini mengisyaratkan bahawa rakyat tidak lagi boleh berdiam diri membiarkan agenda reformasi institusi dan reformasi politik negara tersasar,” katanya.
Faisal berkata, susulan perkembangan terkini dalam kes Najib, kekhuatiran paling utama adalah sekiranya mandat rakyat yang berbaki empat tahun untuk kerajaan sedia ada akan berlalu secara sia-sia, tanpa sebarang pelaksanaan perubahan struktural yang positif membabitkan aspek pilihan raya, agenda melawan rasuah, serta agenda reformasi institusi yang lain.
“Bersih menegaskan, Malaysia kini sedang meniti tempoh genting proses transisi pendemokrasian yang mewajibkan semua pihak untuk senada merealisasikan agenda Reformasi 100 peratus ini.
“Justeru, Bersih bersama rakan-rakan CSO, gerakan anak muda dan mahasiswa akan menggerakkan semula rakyat dan akar umbi untuk memberikan penerangan tentang perkembangan agenda reformasi ini menerusi beberapa tindakan dan aksi dalam masa ke hadapan.
“Gerakan rakyat ini mendesak Kerajaan melaksanakan agenda Reformasi 100 peratus tanpa kompromi,” ujarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!