Polis Pulau Pinang rombak anggota MPV, URB elak kes salah laku
BUTTERWORTH - Polis Pulau Pinang akan merombak dan menukarkan 90 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berkhidmat lebih enam tahun ke jabatan lain dalam usaha mengurangkan kes salah laku.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan masyarakat terus yakin dengan integriti pasukan polis.
“Kita sudah kenal pasti 90 anggota yang berkhidmat dalam unit MPV dan URB lebih enam tahun dan kini kita dalam perancangan untuk menukarkan mereka ke jabatan lain.
"Secara keseluruhan kita mempunyai kekuatan lebih 300 anggota URB, MPV membabitkan lima daerah di Kontinjen Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Op Selamat 21/2024 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan di sini.
Sebelum ini, media melaporkan lima anggota polis MPV Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan seorang pekerja kilang membabitkan kerugian RM4,500 dalam insiden di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam di sini.
Kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun kini direman sehingga 9 Februari depan.
Mengulas mengenai kes berkenaan, Kok Chin berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian.
Katanya, selepas diteliti oleh pasukan D5 Bukit Aman, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.
“Kita sudah serah (kertas siasatan) hari ini dan ia masih dalam penelitian pihak berkenaan, setakat ini kita belum terima apa-apa arahan lanjut.
"Kita perlu tunggu keputusan daripada PPN negeri untuk pastikan berapa ramai anggota yang akan dituduh serta siapa yang akan menjadi saksi.
"Sekiranya kesemua mereka terlibat dalam kes ini kita akan lihat sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya dalam masa terdekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!