Tahun Baharu Cina: Bomba Kelantan pantau 73 'hotspot' kemalangan
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti 73 lokasi ‘hotspot’ kemalangan yang menjadi tumpuan pemantauan sempena cuti Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di negeri ini.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, Gua Musang mencatatkan lokasi terbanyak iaitu 15 kawasan kemalangan diikuti Kuala Krai dengan tujuh lokasi panas.
Menurut beliau, persediaan dilakukan bagi memastikan bantuan kepada orang awam lancar jika berlaku kemalangan atau kebakaran.
“Keadaan trafik akan sesak pada hari perayaan terutama lokasi ‘hotspot’ di pintu-pintu masuk seperti Gua Musang dan Pasir Puteh kerana Kelantan biasa menerima ramai pengunjung semasa musim cuti.
“Bomba akan memastikan jentera kami sampai ke kawasan kemalangan atau kebakaran untuk memberi bantuan segera jika berlaku kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran MBK dan Kesiapsiagaan Op Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Pejabat JBPM Tunjung di sini, pada Rabu.
Menurut Zainal, pihaknya turut melaksanakan pemantauan bermotosikal bagi melancarkan tugas rondaan sekali gus mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa bantuan menyelamat diperlukan.
“Kita jangkakan banyak kenderaan akan mula memasuki negeri ini berikutan cuti panjang akan bermula hujung minggu ini.
“Rondaan akan dilakukan setiap hari dan kerjsama bersama agensi-agensi lain,” kata beliau.
Tambahnya, penugasan Op Tahun Baharu Cina itu melibatkan keseluruhan kekuatan 1,200 bomba termasuk sukarela dan bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!