Kertas siasatan lima polis MPV peras ugut wang RM4,500 telah siap

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin mengadakan sidang akhbar selepas perasmian Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin mengadakan sidang akhbar selepas perasmian Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, di sini pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kertas siasatan berhubung kes lima anggota polis Unit Pasukan Peronda (MPV) Pulau Pinang, yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan seorang pekerja kilang membabitkan kerugian RM4,500 dalam insiden di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, telah pun siap.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, kertas siasatan membabitkan lima anggota berusia 24 hingga 48 tahun itu, telah dihantar ke Bahagian Perundangan Bukit Aman untuk tindakan lanjut, hari ini.

"Kertas siasatan kes itu dah lengkap dan kita rujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman, sebelum ia dibawa balik dan seterusnya kita akan hantar ke Pengarah Pendakwaan Negeri serta tunggu arahan selanjutnya.

"Kesemua lima anggota tersebut ketika ini direman sehingga 9 Februari, sama ada kesemua akan didakwa berhubung kes itu kita akan tunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang yang bermula 8 hingga 13 Februari, di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, di sini pada Rabu.

Kok Chin berkata, semua lima anggota polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, seramai 90 anggota polis di Pulau Pinang yang bertugas di MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal lebih daripada enam tahun, akan dipindahkan ke bahagian serta unit lain di Kontinjen Polis Pinang dalam masa terdekat.

"Setakat yang kita telah semak, seramai 90 anggota MPV dan URB akan ditukarkan kerana bertugas lebih enam tahun dan di negeri ini terdapat lebih 300 anggot bertugas di kedua-dua unit tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 10.15 malam Khamis itu, seorang lelaki yang sedang memandu kereta mendakwa telah ditahan dua kereta MPV polis yang mengarahkannya berhenti di tepi jalan sebelum tiga anggota membuat pemeriksaan terhadapnya.

Semasa pemeriksaan, salah seorang anggota polis telah menemukan satu beg plastik mengandungi serbuk disyaki dadah di dalam kereta mangsa dan dia menafikan tentang beg plastik tersebut, namun polis tersebut mengatakan dadah tersebut milik lelaki dan boleh dikenakan hukuman berat.

Lelaki berusia 27 tahun mendakwa sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota polis datang ke situ, sebelum lelaki tersebut diarah membayar sebanyak RM10,000 jika tidak mahu ditangkap, namun selepas berbincang bersetuju RM4,500.

Sementara itu, Kok Chin berkata, pihaknya meningkatkan kehadiran pihak polis dan memantau kawasan kerap berlaku kesesakan serta kemalangan, bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina nanti.

Beliau berkata, sebanyak tujuh lokasi dikenal pasti kerap berlaku kemalangan iaitu Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai-Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Ampat, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Jalan Air Itam, Jalan Air Itam-Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Dr Awang. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!