547 pelajar dalam bahaya, PIBG dakwa bangunan sekolah tiada CF
KOTA BHARU - Seramai 547 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering terpaksa menuntut ilmu dalam keadaan bahaya selepas premis itu didakwa tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Sukri Mamat mendakwa bangunan yang mempunyai lima blok tersebut sudah digunakan sejak 2005 lagi.
"Kami dikejutkan dengan ketiadaan CF ini apabila pada tahun 2022 JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Kelantan telah mengarahkan pihak sekolah mengosongkan blok kuarters kakitangan yang menempatkan lapan kediaman atas faktor keselamatan
"Kami difahamkan arahan itu dikeluarkan tanpa sebarang surat rasmi," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sukri yang mewakili suara ibu bapa memberitahu, mereka bimbang tentang keselamatan anak-anak sepanjang berada di sekolah kerana dipercayai telah berlaku beberapa kejadian yang hampir mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, selain itu mereka juga dikejutkan dengan dakwaan pelan induk sekolah terbabit juga seolah-olah tidak wujud dan sehingga kini gagal ditemukan.
Ujarnya, ia berpandukan kepada usaha PIBG serta pentadbiran SMK Sering yang sebelum ini telah ke Jabatan Kerja Raya (JKR), JPN sehinggalah ke Arkib Negara dalam usaha menjejaki pelan induk sekolah terbabit.
"Namun ia gagal ditemukan sehinggakan kami musykil dengan situasi tersebut kerana sepatutnya pelan induk yang diluluskan oleh pihak kementerian serta agensi-agensi berkaitan sebelum bangunan sekolah dibina, diserahkan dan memulakan operasi wujud.
"Sesebuah sekolah juga sepatutnya menerima CF terlebih dahulu sebelum dibenarkan atau diarahkan untuk memulakan operasi," katanya.
Tambahnya, perkara tersebut terpaksa disuarakan kerana desakan berterusan diterima daripada ibu bapa pelajar.
Beliau berkata, perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat rasmi pada 23 Januari lalu.
"Jadi kami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera demi keselamatan pelajar serta guru dan kakitangan sekolah.
"Jangan sampai ada yang mengalami kecederaan baharu langkah akan diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!