PLUS aktifkan 14 Smartlane bermula 8 Februari
SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik sebagai persediaan menghadapi peningkatan jumlah kenderaan bermula 8 hingga 18 Februari ini.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, tindakan itu akan dilaksanakan pada tarikh dan masa ditetapkan mengikut lokasi bagi melancarkan pergerakan trafik semasa cuti Tahun Baharu Cina.
"Tiada penutupan lorong akan dilaksanakan antara 5 hingga 16 Februari depan bersempena musim perayaan ini.
"Namun penutupan lorong akan terpaksa dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya berlaku kemalangan atau kerja-kerja kecemasan dan kritikal yang berisiko kepada keselamatan pengguna lebuh raya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 2.1 juta sehari berdasarkan trend pergerakan ketika ini.
Peningkatan itu, katanya akan menyumbang kepada kebarangkalian berlaku kesesakan terutama di lokasi-lokasi hotspot antaranya Tapah-Gopeng, Simpang Pulai-Gopeng, Slim River-Sungkai, Rawang Selatan-Sungai Buaya termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol.
Justeru, PLUS akan menempatkan seramai 450 anggota PLUSRonda untuk melakukan lebih banyak rondaan di lebuh raya bagi memberi bantuan kepada pengguna.
"Selain itu seramai 1,500 kakitangan ditempatkan di plaza tol bagi memastikan semua 1,075 lorong beroperasi sepenuhnya.
"Selain itu 2,100 kakitangan penyelenggaraan pula akan ditugaskan untuk memastikan kebersihan di semua kawasan R&R dan hentian sebelah terjaga demi keselesaan pengguna.
"Turut disediakan tandas tambahan di 21 lokasi terpilih serta penyediaan 79 kawasan meletak kenderaan tambahan di beberapa lokasi di sepanjang lebuh raya," jelasnya.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 melalui Chatbot PUTRI di 019-356 9802 atau aplikasi WhatsApp dan Aplikasi PLUS untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!