Pengasuh ditahan disyaki dera bayi 11 bulan
NILAI - Seorang pengasuh wanita di sebuah pusat asuhan kanak-kanak dekat sini ditahan polis selepas disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya pada 5 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 20-an mengenai kejadian terbabit pada jam 6.12 petang Selasa.
"Pengadu menyatakan anak perempuannya didera dan berdasarkan siasatan awal dijalankan pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 5 Februari lalu dari jam 8 pagi hingga 6.18 petang.
"Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan terbabit, bayi itu dipukul pada bahagian muka dipercayai menggunakan objek keras oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pusat asuhan terbabit sudah beroperasi selama lebih kurang 20 tahun dan penubuhannya mendapat kelulusan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.
"Hasil keterangan pakar perubatan yang merawat mangsa menyatakan bayi itu mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata kemungkinan terkena objek yang keras," katanya.
Jelas beliau, susulan kejadian itu, pada jam 12.30 tengah hari tadi, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai membuat tangkapan ke atas suspek wanita berusia 66 tahun.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
"Permohonan reman akan di buat di Mahkamah Majistret Seremban esok. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam susulan kejadian itu mulai tular di media sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!